Rupanya ini punca LRT Pasar Seni tergendala sampai 2 jam!

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Menerusi hantaran di aplikasi X, ramai pengguna perkhidmatan LRT merungut kerana terpaksa menunggu tren dari Stesen LRT Subang ke Stesen Universiti selama lebih dua jam.

Seorang suspek dipercayai telah menceroboh kawasan landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni

Dan Stesen LRT KL Sentral sekitar jam 7.09 malam semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kakitangan Pusat Kawalan Operasi telah

mengesan suspek tersebut melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di platform berkenaan.

Rupanya ini punca LRT Pasar Seni tergendala sampai 2 jam!

Menurut mereka, atas faktor keselamatan dan mengikut piawaian standard operasi (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan polis bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mengesan suspek.

“Hasil siasatan mendapati tiada kelibat suspek ditemui setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.

“Suspek dipercayai telah berjaya melarikan diri tanpa dikesan, dan pasukan Polis Bantuan Prasarana telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun, perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya telah kembali pulih sepenuhnya pada pukul 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat.

Tambah Rapid Rail, siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan tersebut dan langkah-langkah keselamatan akan diperkemaskan untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan bahawa laporan berkaitan kejadian ini telah diterima dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

BACA: Padah dibiar berkeliaran tanpa pengawasan, 12 ekor kerbau di lelong murah-murah