Rupanya ini sebab kenapa Israel tiba-tiba serang selatan Lubnan

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Di Pretoria, Afrika Selatan; suhu tengah hari di awal musim semi sangat nyaman. Ada dingin, ada sinar matahari, dan ada Hassan,

seorang pemuda dari Beirut yang saya kenali di konferens Artivism.

Hari Ahad, banyak kedai yang tutup dan kami merasa terkurung di kediaman yang disediakan, justeru kami berhasrat untuk berjalan-jalan di sekitar Union Building.

Hassan memesan Uber dan kereta itu menghantar kami ke utara taman.

Setelah turun, saya masih dalam proses berkenalan dengan Hassan.

Rupanya ini sebab kenapa Israel tiba-tiba selatan Lubnan

Pertanyaan saya ketika itu mudah, mengapa Israel merasakan perlu untuk menyerang Selatan Lubnan?

Hassan menjawab dengan satu kata; Litani.

Saya mengulang apa yang disebutnya, Litani? Fikiran saya sebagai seorang dramatis mengaitkan Litani dengan korus zikir dan doa dalam upacara agama Nasrani.

Hassan, dengan mata yang tajam dan badan yang sasa, berbicara dengan suara dalam dan terbatas kerana memilih kata dalam bahasa Inggeris, kadang-kadang mencampur dialog dalam bahasa Arab standard untuk mencari penjelasan yang munasabah.

Ya, Sungai Litani.

Kami berjalan di bawah sinar matahari yang terik, melihat bayang-bayang yang agak mencondong, dan akhirnya memutuskan untuk duduk di sebuah meja di bawah pohon jacaranda yang baru berbunga.

Saya berharap untuk menikmati sandwich sambil mendengar apa yang akan dikatakan oleh Hassan. Angin bertiup lembut, mengibarkan kain pelikat yang saya kenakan.

Hassan sering mengingatkan, “Kamu berseluar di dalamnya, bukan?”

Saya hanya membalas dengan ketawa.

Litani. Dia mengulang dan matanya seolah menerawang menembus ke tebing Sungai Litani.

Saya dapat membayangkan garis biru yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setelah Israel kalah perang di tangan Hezbollah pada bulan Mei tahun 2000.

Garis biru itu adalah untuk memisahkan antara Lubnan dan Israel, menjadi daerah tenang antara kedua negara. Di situlah Sungai Litani mengalir lesu ke Laut Mediterranean, sepanjang kira-kira 70 kilometer ke selatan Beirut.

Jarak antara Litani dan garis biru yang diletakkan PBB ada yang sepanjang 28 kilometer, sementara di bahagian lain ada yang hanya 6 kilometer. Antara Lubnan dan Israel atau Palestina yang dijajah, terdapat kira-kira 76 kilometer.

Sepanjang Sungai Litani terdapat kebun pertanian, dusun, dan tanaman yang subur. Zaitun, buah tin, dan bahi menggiurkan. Pekan-pekan dan desa kecil selalu berdebar setiap malam.

Di sepanjang Litani, terdapat lebih 200,000 penghuni beragama Islam, bermazhab Syiah dan menyokong Hezbollah; dengan 25% sisanya bermazhab Sunni, Druze, dan orang Kristian.

Daerah Litani memberikan 12 ahli parlimen dan wakil. Juga di sini Unifil beroperasi selama 28 tahun di bawah Resolusi PBB 425. Tentera Malaysia, Malbat juga ada di sini.

Saya dapat membayangkan mata Hassan yang biru kehijauan itu sedang mengelamun mengkhayalkan sungai sepanjang 170 km, sumber air utama Lubnan.

Ia menyokong projek dan sektor pertanian di Lembah Bekaa. Sebanyak 54,000 hektar tanah bergantung pada sungai ini.

Litani memberi air kepada 264 pekan dan kampung, di mana hampir 800,000 orang atau 1/5 dari penghuni Lubnan menggunakan air dari Litani.

Keluarga Hassan berakar di situ, tumbuh dan membesar di Litani.

PBB agak berpihak kepada Israel dalam Resolusi 1701 yang memandatkan agar kawasan ini dijaga oleh tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB. Hezbollah enggan menyerah.

Mudah untuk difahami, Hezbollah tidak akan mempercayai tentera Lubnan, dan PBB lebih dilihat sebagai ‘Persetubuhan Bangsat-bangsat Bersatu’.

Israel sendiri tidak pernah mundur dari garis biru, jadi mengapa Hezbollah harus akur untuk menjauh dari Litani? Tidakkah 800,000 rakyat Lubnan berasa lebih selamat dengan jaminan Hezbollah?

Logiknya, Israel memerlukan Litani. Zionis haram jadah menduduki Palestin dan memerlukan Sungai Litani untuk dirinya sendiri. Tidaklah menghairankan apabila Netanyahu sebelum mengarahkan pembunuhan Sayyid Hassan Nasrallah, mengangkat dua peta di PBB.

Satu peta memuji negara Arab seperti Mesir dan Arab Saudi yang tunduk kepadanya; dan satu lagi menunjukkan Iran, Syria, dan Yaman sebagai musuh abadi. Lubnan tiada dalam peta itu, kerana Israel telah menelannya. Ini adalah petunjuk kesediaan Zionis untuk menjarah Lubnan dan mendudukinya.

Apabila Israel membom Lubnan, membunuh ribuan orang termasuk Sayyid Hassan Nasrallah, Israel sebenarnya berharap untuk menduduki Lubnan dan merampas wilayah Litani ini.

Kepentingan Litani disebut dalam Resolusi PBB 1701, yang menjadi punca tamatnya serangan Israel terhadap Lubnan pada 2006. Israel mendakwa Hezbollah mengancam peneroka di utara Israel.

Inilah sebabnya Israel menggugurkan notis pengungsian untuk menakut-nakutkan penduduk di selatan Lubnan.

Sungai Litani mungkin hanya alasan. Dalam minda seorang Zionis tegar seperti Netanyahu, Israel harus membesar hingga ke sempadan Mesir di selatan, dan merangkumi Syria dan Lubnan di sebelah utara.

Ia boleh melebar ke Timur, membawa ke Arab Saudi dan Iraq, mencecah sempadan Iran. Memang gila. Kita, Melayu bani Qaturah, tidak akan dapat menerimanya.

Namun, ada yang lebih gila, terdapat negara-negara umat Islam bermazhab Sunni seperti Jordan yang membantu Israel. Setiap kali Yaman, Iraq, atau Iran yang dikenali sebagai blok perlawanan menghantar peluru berpandu ke Israel, Jordan paling beria menolong untuk menangkis. Kerja pembelotan ini telah berlanjutan sekian lama.

Ketika Hassan, dengan renungan dalam dan jauh, kembali ke bawah pohon jacaranda di Pretoria, saya dapat merasakan kebimbangannya. Hassan, teman baharu saya, adalah seorang penggiat masyarakat sivil.

Dia menyediakan terapi seni untuk anak-anak di perbatasan di Litani, supaya mereka dapat mengatasi trauma dan ketakutan terhadap raksasa Zionis. Saya dapat membayangkan rasa terancamnya.

Kami menikmati sandwich petang itu di hadapan Union Building. Dari bangku kami, terlihat tugu Nelson Mandela dengan tangan terbuka. Mandela yang sangat menyokong Palestin.

Tidak ada riak takut di mata Hassan. Ada rasa bimbang, tetapi tiada rasa takut. Angin sepoi-sepoi meniup, membelai pipi.

Esoknya saya pulang ke Malaysia. Dia menghantar saya di lobi hotel dengan pelukan erat. Dia ingin ke Malaysia, bergambar di Bukit Bintang katanya. Hassan tinggal dua hari lagi untuk ke Cape Town.

Saya bilang kirim salam kepada orang Melayu di sana. Dua hari sebelum Sayyid Hassan Nasrallah syahid dibunuh Zionis, saya ada mengirim mesej kepada Hassan di akaun IG beliau. Ada rasa lain dalam hati saya

. Dia beritahu dia okay-okay sahaja dan bercadang ke Beirut, untuk mengirim proposal sebuah pementasan teater kepada sebuah yayasan. Memang kebiasaan kalau Hassan ke Beirut, dia akan menginap di rumah saudaranya di sekitar Banlieue Sud de Beyrouth atau Dahiyeh.

Lima hari lalu pada 27 September, Zionis menyerang Dahiyeh, Beirut. Sayyid Hassan Nasrallah terkorban. Ribuan yang lain turut syahid.

Baru kelmarin, tentera Israel cuba menceroboh sempadan Lubnan dan memasuki Litani. Sehingga hari ini, Hassan, kawan baharu itu, belum membalas mesej saya yang bertanya khabar.

Saya terbayang-bayang mata Hassan yang dalam dan renungan yang menerobos ke dimensi lain itu. Ada pedih dan sedih merasuki benak saya.

Di Pretoria, hampir sebulan lepas; di bawah pohon jacaranda, kami sedang makan sandwich ayam. Saya membuat isyarat ada kesan mayonis di bucu bibirnya.

Dia tertawa, sambil menyapu dengan hujung keffiyeh. Saya membuat isyarat eeuuww dan dia terus ketawa. Mata Hassan lembut dan memanggil.

Sampai sekarang, terngiang tawa Hassan. Ia mengalir lesu seperti arus Sungai Litani yang menerpa gegendang telinga, bergaung umpama gelombang.

BACA: Baru tahu rupanya ini hukum tidur lepas solat subuh, asar dan maghrib!