Saat diminta hubungi keluarga terdekat kerana dah 50-50 akibat Covid-19 sukar dilupa. “Saya pernah berada pada tahap 50-50 serta diminta telefon ibu bapa dan keluarga terdekat. Situasi itu sangat menyedihkan dan sampai bila-bila akan diingati,” kata Syahril Hirman Azmee.
Syahril, 42, dari Kampung Padang Midin pernah dijangkiti Covid-19 tahap lima dan dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga ditidurkan untuk proses rawatan.
Menurutnya, dia bertarung nyawa di wad ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama dua minggu selepas disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu.
“Doktor beritahu saya sudah berada tahap 50-50, ketika itu lebih 50 peratus paru-paru sudah dijangkiti Covid-19,” katanya yang juga Pegawai Sains di Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menurutnya, berdasarkan pengalaman yang pernah dialami itu, dia berharap orang ramai lebih berhati-hati dan jangan menganggap remeh terhadap ancaman pandemik Covid-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Hargailah kesihatan dan kesempatan yang masih ada dengan menitik beratkan keselamatan diri dan keluarga daripada dijangkiti Covid-19.
“Saya bersyukur kerana pulih dan kini sentiasa memberi nasihat kepada semua orang supaya patuh dengan SOP Covid-19 yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, dia juga menyeru semua masyarakat menyahut seruan pihak berkuasa untuk mengambil suntikan vaksin bagi mencapai imuniti kelompok seterusnya negara bebas daripada pandemik Covid-19 itu.
“Segeralah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin segera supaya terhindar daripada jangkitan penyakit berjangkit itu,” katanya.
Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/726657/covid-19-dah-50-50