Sabah bakal PRU lagi? Kerusi parlimen dikosongkan

Oleh GEMILANGDAILY

Sabah bakal PRU lagi? Kerusi parlimen dikosongkan. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka empat kerusi Parlimen yang diwakili bekas ahli parti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penyerahan notis itu dibuat mengikut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, notis itu membabitkan kerusi Parlimen Papar yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas Datuk Armizan Mohd Ali; Batu Sapi (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan), Ranau (Datuk Jonatgan Yasin dan Sipitang Datuk Matbali Musah).

“Bersatu sudah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai ahli parti Bersatu dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai anggota Bersatu. Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya.

Sabah bakal PRU lagi? Kerusi parlimen dikosongkan

Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, kenyataan Pengerusi GRS yang juga Pengerusi Bersatu Sabah ketika itu, Datuk Hajiji Noor pada 2 November lalu turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada Bersatu mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU-15.

Bagaimanapun, katanya, pada 10 Disember lalu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu termasuk empat Ahli Parlimen yang menang atas tiket GRS pada PRU-15.

“Pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember yang lalu, keempat-empat Ahli Dewan Rakyat itu berada di blok kerajaan.

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin merangkap Presiden Bersatu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai ahlu parti Bersatu gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini sudah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember lalu.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, Ahli-Ahli Dewan Rakyat itu hendaklah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, pihaknya juga memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya perkara itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mengesahkan menerima notis pemakluman daripada Bersatu mengenai status empat Ahli Parlimen di Sabah yang keluar parti.

Johari berkata, sehingga kini, status Ahli Parlimen terbabit masih kekal dan belum ada kekosongan di kerusi berkenaan.

BACA:

Lelaki kantoi sorok lauk bawah nasi, ‘dah lah marah aku caj mahal, selamat ada Cctv’

Riuh satu kampung ular Sawa besar ‘tahap dewa’ melingkar atas pokok durian

Che Ta luah rasa kecewa tengok ada melayu sambut krismas main dengan anjing