Sah ! Muhyiddin semakin mirip cara kempen Najib

Sah ! Muhyiddin semakin mirip cara kempen Najib

Melihat kempen Muhyiddin Yassin untuk menumbangkan Warisan di Sabah ini barangkali mengingatkan kita kepada cara kempen Najib Razak pada PRU13 dan PRU14 lalu.

Penonjolan poster yang banyak, sandaran kepada imejnya selaku Perdana Menteri, bahkan keghairahan Muhyiddin sendiri menonjolkan dirinya seolah-olah popular dan disukai rakyat adalah sama seperti yang dilakukan Najib pada dua PRU sebelum ini.

Kedua-dua mereka nampaknya sama gaya dan citarasa dalam menonjolkan diri masing-masing bagi tujuan mencipta kemenangan.

Pada PRU13 di tahun 2013, Najib adalah pertama kali mengemudi BN menghadapi PRU sebagai Perdana Menteri, manakala di PRN Sabah ini juga merupakan cabaran pertama Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Ketika itu, poster gambar Najib jelas lebih banyak berbanding poster calon-calon yang bertanding, khususnya di Selangor, negeri yang ditarget untuk dirampas oleh BN.

Di merata jalan, terlihat poster, kain rentang, billboard di lebuhraya, malah di kaca tv, penonjolan terhadap wajah Najib memang agak luar biasa.

Namun, dalam PRU13 itu, walaupun BN kekal berkuasa, tetapi jumlah kerusi kemenangannya berkurangan daripada 140 yang dicapai pada 2008 kepada 133 kerusi saja.

Maka, ia membuktikan penonjolan Najib secara keterlaluan adalah sesuatu yang gagal.

Dalam fasa menghadapi PRU14, sementara Najib mula dibebani dengan skandal 1MDB, penonjolan terhadapnya tetap berterusan lagi.

Najib terus dinanang dan diagung-agungkan dengan lebih meninggi, bahkan poster dan plakad “I ❤️ PM” mula menjadi kewajipan dalam setiap majlis dan program yang dihadiri oleh Najib.

Media arus perdana dan pemain media sosial berbayar pula terus menjulang dan menaikkan nama Najib sebagai simbol untuk memenangi PRU14, sambil dalam masa yang sama semua kelemahannya cuba ditutup rapat dengan sebaik mungkin.

Ringkas cerita, dengan semua yang dilakukan itu, BN akhirnya tumbang buat pertama kalinya pada PRU14 tersebut.

Sekali lagi bermakna usaha menonjolkan Najib secara berlebihan telah mendatangkan kegagalan.

Dalam PRN Sabah yang sedang berlangsung sekarang, apa yang dilakukan oleh Muhyiddin atau apa yang ditonjolkan mengenai Perdana Menteri dalam gerakan kempennya untuk memenangkan GRS adalah sama dan ulangan kepada apa yang pernah dilakukan Najib pada PRU13 dan PRU14 lalu.

Gambar dan poster Muhyiddin bertaburan di Sabah, di sebalik beliau bukanlah calon dan sentimen anti Semenanjung juga agak meluap-luap di negeri tersebut.

Gaya kempen Muhyiddin pula tidak langsung menggambarkan beliau seorang “Abah” yang adil kepada anak-anak di mana amarannya bahawa Sabah akan menikmati lebih peruntukan kewangan jika kepimpinan negeri selagi dengan pusat adalah sesuatu yang tidak wajar sebenarnya.

Ia adalah suatu “amaran jahat” yang memperlihatkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mula mahu menunjukkan keangkuhan terhadap kuasa yang ada dalam tangannya.

Bukankah dulu Najib juga pernah mengucapkan nada yang hampir sama untuk menawan Selangor dan Pulau Pinang?

Yang nyata, lagak angkuh Muhyiddin itu hanya melebarkan lagi sentimen anti Semenanjung di Sabah kerana memberi amaran tentang kebebasan dalam membuat pilihan tentu saja sesuatu yang menyakitkan hati bagi rakyat yang merdeka.

Untuk minggu terakhir kempen sebelum pengundian pada 26 September depan, adalah dipercayai Muhyiddin akan datang lagi ke Sabah.

Untuk fasa berikutnya, sementara posternya kekal bertaburan lebih banyak di mana-mana di Sabah, gaya kempennya yang sama dijangka akan berterusan lagi.

Pengumuman peruntukan pembangunan, amaran tentang perlunya kepimpinan negeri selari dengan Pusat dan segala macam lagi akan terus bergema lagi.

Begitu pun, sehingga ini nampaknya gerak kempen Muhyiddin itu dilihat tidak begitu berjaya, bahkan Warisan terus ke depan untuk memacu kemenangan pada 26 September depan.

Apakah dalam hal ini Muhyiddin tidak lebih hanya meniru dan mengulangi kegagalan Najib semata-mata? (Shahbudindotcom 20/09/2020).

Sumber : https://shahbudindotcom.net/2020/09/20/muhyiddin-ulangi-kegagalan-najib.html