Sains dan teknologi boleh jadi baik atau sebaliknya, pilihannya di tangan anda – PM Mahathir

Manfaat sains dan teknologi boleh membawa kepada kebaikan atau sebaliknya kepada manusia dan keputusannya terletak di tangan mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, masalah yang berhubung dengan sains dan teknologti bukanlah mengenai lahiriah tetapi manusia yang mengendalikannya.

Beliau memberi contoh senario sebilah pisau di mana alat itu boleh digunakan untuk mengukir sesuatu menjadi cantik dan sebaliknya boleh juga digunakan secara salah untuk membunuh manusia.

“Sains dan teknologi boleh digunakan untuk kebaikan manusia atau merosakkan manusia.

“Bukannya sains dan teknologi itu yang tidak baik tetapi keputusan manusia apabila mereka menemui sesuatu untuk membunuh manusia,” katanya ketika berucap kepada peserta sekolah musim panas Japan Future Leaders School di sini, hari ini mengenai ‘How Science and Technology will Contribute to World Peace’’.

Dr Mahathir diundang sebagai penceramah utama pada sekolah musim panas itu dan tahun ini bagi kali ke-16 kemunculan beliau pada ceramah tahunan Japan Future Leaders School (JFLS).

JFLS ialah satu program khas diadakan setiap tahun bagi pelajar sekolah tinggi yang terpilih. Ia program selama dua minggu bertujuan membangunkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar dalam pelbagai bidang menerusi pertukaran yang bermakna dengan individu terkemuka.

Ada lebih 2,000 pelajar termasuk empat dari Malaysia menghadiri program tahun ini. Yang lain dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Dr Mahathir berkata, sains dan teknologi boleh menyumbang kepada kebaikan manusia seperti penemuan ubat-ubatan dan penyembuh penyakit.

Dr Mahathir pada ceramah hari ini memberitahu kumpulan pemimpin masa hadapan itu bahawa peperangan akan terhenti sekiranya mereka ditanamkan dengan pemikiran bahawa membunuh manusia itu adalah satu jenayah dan menggesa mereka menolak keganasan.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat pemikiran bahawa “membunuh seseorang itu satu jenayah tetapi membunuh berjuta-juta bukan satu jenayah” dan itu mesti diubah.

“Membunuh orang sama ada satu atau sejuta orang adalah satu jenayah. Anda perlu mendewasakan diri, kerana anda adalah pemimpin masa hadapan negara anda, dan membunuh manusia sama ada seorang atau sejuta adalah satu jenayah,” katanya.

BERNAMA