Sandwic R&R rupanya bawa maut, wanita nekad dedah punca kematian ibu saudara

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Seorang wanita didakwa meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas menjamah sandwic yang dijual di kedai kawasan rehat dan rawat (R&R) di Johor.

Perkara mengejutkan itu didedahkan oleh anak saudara mangsa, Sahara Nabillah menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, baru-baru ini.

Menurut Sahara, ibu saudaranya itu memulakan perjalanannya dari Johor menuju ke Terengganu untuk menghantar anak mendaftar di sebuah universiti di Pantai Timur.

Sandwic R&R rupanya bawa maut, wanita nekad dedah punca kematian ibu saudara

Keluarga berkenaan kemudian membuat keputusan berhenti makan di kawasan R&R yang terletak di Johor sebelum membeli hidangan sandwich di salah sebuah kedai di situ.

Mengalami keracunan makanan setelah menjamah sandwich basi, ibu dan anak saudara Sahara segera dikejarkan ke hospital di Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

“Makan sandwic dibeli di R&R. Basi rupanya, kena keracunan makanan, dua mangsa. Mak cik dan anak saudara, tetapi mak cik yang kritikal. Tidak berhenti muntah dan berak.

“Masuk air, selepas itu jatuh pengsan. Masuk ICU (unit rawatan rapi) Hospital Sultanah Zahirah dan meninggal. Insiden berlaku dalam masa dua hari sahaja,” dedah Sahara.

Tidak ingin kejadian berulang, wanita berkenaan tampil menasihati orang ramai agar mengambil pengajaran dan lebih berhati-hati sebelum menikmati makanan yang dibeli di luar.

Sahara juga meninggalkan pesan kepada peniaga agar menjalankan tanggungjawab mereka dalam menyediakan makanan yang bersih dan tidak mengancam nyawa pelanggan.

Pada masa yang sama, Sahara turut mendakwa pihak hospital telah melaporkan kejadian tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

Mengundang perbincangan hangat, hantaran tersebut berjaya mencuri tumpuan ramai termasuklah daripada golongan peniaga yang menjual makanan di R&R terbabit.

Beberapa individu turut menuduh Sahara sengaja menyebarkan fitnah sehingga memaksa wanita yang sedang berduka itu membalas komen bagi mempertahankan dirinya.

“Saya menulis supaya orang berhati-hati dan berwaspada. Sudah ada kematian masih fikir kesan kepada peniaga ke? Saya tak sebut pun nama gerai (menjual sandwic).

“Selagi tak kena pada batang hidung ahli keluarga sendiri, memanglah mudah untuk berkata-kata.” Ulas wanita yang turut berkongsi video pengebumian ibu saudaranya sebagai bukti.

Baca juga:Gitar ikonik milik Kurt Cobain dilelong lebih AS$1.5 juta