Penyanyi Sarah Suhairi kini sah bergelar isteri kepada Aswad Anuar, seorang pensyarah, dalam majlis pernikahan yang berlangsung pagi tadi, lapor Gempak.
Dengan sekali lafaz, Sarah dan Aswad dinikahkan oleh bapa Sarah, Suhairi Hamdan,
Di hadapan jurunikah, Ahmad Khaliq Md Rasid, di lokasi pilihan mereka, Barern Hill.
Majlis bertemakan warna putih itu menyaksikan penyerahan mas kahwin berupa seutas gelang emas bernilai RM2,486. Jumlah hantaran, bagaimanapun, dirahsiakan.
Kedua-dua mempelai bertukar dulang hantaran dengan lima berbalas tujuh.
Berita gembira ini mengejutkan ramai kerana kedua-dua belah pihak tidak pernah mendedahkan hubungan mereka kepada umum.
Sarah Suhairi meluahkan rasa syukur atas pernikahannya melalui hantaran gambar rasmi mereka bersalaman selepas ijab kabul.
“Bersyukur ke hadrat Ilahi di hari yang penuh barakah ini, dengan sukacitanya Sarah ingin mengumumkan bahawa kami telah selamat diijab kabul sebagai suami isteri yang sah.
“Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan ini melainkan rasa syukur,” katanya.
Sarah turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga tercintanya.
“Terima kasih kepada ibu dan ayah yang selama ini mencurahkan kasih sayang dan sokongan kepada Sarah. Sarah terhutang budi dan akan membalas jasa kalian berdua.
“Untuk ahli keluarga yang lain, terima kasih kerana sentiasa bersama Sarah. Tiada permata yang dapat menggantikan betapa bernilainya hubungan kita hingga ke hari ini,” tambahnya.
Sarah juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga baharunya atas penerimaan mereka.
“Untuk keluarga baru Sarah, terima kasih kerana menerima kehadiran Sarah dengan tangan terbuka dan penuh kehangatan.
“Sarah sangat bersyukur dan gembira menjadi sebahagian daripada keluarga kalian,” katanya lagi.
Tidak lupa, Sarah juga menyampaikan penghargaan kepada para peminat dengan mempersembahkan muzik video terbarunya sebagai hadiah.
“Untuk semua peminat yang Sarah hargai dan kasihi, terima kasih kerana menjadi suara dan keluarga Sarah dalam dunia seni.
“Terimalah muzik video ‘With You’ sebagai hadiah daripada Sarah untuk semua peminat,” ujarnya.