Saranan PH tunggu PRU15 patut dituju pada PN yang tiada mandat

Saranan PH tunggu PRU15 patut dituju pada PN yang tiada mandat

Saya membaca kenyataan beberapa orang penganalisis politik seperti yang dilaporkan dalam media misalnya Malaysiakini.

Mereka, antara lain, menyarankan agar PH memberi tumpuan kepada PRU-15 bagi mengambil Kerajaan dan bukannya mengambil semula Kerajaan pada masa sekarang.

Seorang pemimpin Umno pula dilapor oleh akhbar Sinar Harian dengan bangga menggunakan ucapan titah YDPA semasa hari perasmian sidang Parlimen pada 18/5/2020 yang lalu bagi menunjukkan kononnya Kerajaan yang ada sekarang adalah “Kerajaan Tuanku”.

Pertamanya, saya ingin ucapkan terima kasihlah kepada para pengalisis politik tersebut di atas analisa mereka. Maaf dan dengan penuh hormat jika saya kata bahawa analisa anda semua bernilai amat amat rendah dan hampir mencapai ke tahap tidak ada nilai. Saya tidak pasti di mana anda semua simpan disiplin ilmu anda!

Keduanya, sekiranya kritikan anda semua itu benar-benar jujur , cadangan anda semua bahawa perlu tunggu hingga PRU-15 untuk ambil alih Kerajaan, cadangan itu sewajarnya ditujukan kepada PN yang membentuk Kerajaan sekarang tanpa ada sebarang mandat rakyat dalam sebarang pilihan raya sepertimana yang diakui sendiri oleh PM yang ada sekarang semasa berucap secara langsung di TV yang mana saya rasa ucapan itu mungkin sesuai dinobatkan sebagai ” Ucapan Makcik Kiah! ”

Ketiga, jika PH kembali berkuasa pada masa ini, hakikatnya ia berkuasa semula dengan mandat rakyat yang diberi oleh rakyat menerusi PRU 14. Mandat tersebut tidak pernah ditarik balik! Bukan kah mandat itu untuk tempoh 5 tahun? Justeru, siapa yang tidak hormat mandat rakyat tersebut?

Keempat, meminta agar PH kena tunggu hingga PRU-15 nampaknya berdasarkan andaian atau premis ini. Seolah- olah KerajaanPN yang lebih besar saiz kabinetnya, yang begitu meriah mengagih-agih “ghanimah” kepada aktor aktor politik seperti pelantikan sebagai duta khas bertaraf menteri dan pelantikan dalam GLC bagi ” membeli kesetiaan “, yang lebih teruja “membebaskan” insan yang terpalit dengan skandal mega 1MDB, amat wajar dibiarkan beberapa tahun lagi! Sedarkah para penganalisa ini tentang banyak perkara-isu imej negara, isu ekonomi, isu pelaburan asing, isu keyakinan pelabur dll.

Kelima, Kerajaan PH yang ditumbangkan oleh Kerajaan PN sekarang adalah kerajaan yang tidak ada sedikit pun “daki” ketakabsahan (legitimacy) sama ada dari sudut Perlembagaan, proses demokrasi atau dari sudut moral dan agama! Tiada sedikit pun elemen pengkhianatan dalam pembentukan Kerajaan PH. Ia dibentuk secara sah, secara bermoral dan beretika sambil menjunjung tinggi semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah sepenuhnya Kerajaan Rakyat yang mewakili semua bangsa, etnik dan agama!

Ya, benar, Kerajaan PH itu tidaklah sempurna-ada kelemahan di sini sana-namun siapa yang boleh menafikan kesungguhan Kerajaan itu bagi membetulkan kerosakan yang amat teruk yang ditinggalkan oleh Kerajaan sebelum ini. Kesungguhan ini boleh dilihat oleh ramai orang di dalam atau di luar negara. Semasa saya bertugas di luar negara atas kapasiti anggota pentadbiran Kerajaan PH, ramai rakan sejawat saya di luar negara yang bukan sahaja puji Kerajaan PH malah berjanji untuk membantu lagi.

Saya masih ingat mantan PM-YAB Tun M- sering mengatakan bahawa hanya setelah beberapa bulan Kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kejayaan menukar imej negara ini sebagai negara yang dikenali sebagai “negara kleptokrat” telah mula menunjukkan hasilnya.

Keenam, saya tertanya tanya di mana suara para penganalisa politik ini semua semasa Kerajaan PN mengambil alih Kerajaan PH secara tidak bermaruah hingga digelar “Kerajaan pintu belakang “atau “kerajaan tebuk atap”? Ya, di mana suara mereka ketika “Langkah Sheraton” digerakkan? Kenapa, pada masa itu, kita tidak dengar mereka menasihati PN agar tunggu PRU 15?

Tentang isu “Kerajaan Tuanku” atau “Kerajaan beta” , maaf lah, takkan lah serendah itu tahap politik mereka ? Kenapa terlalu paranoia dengan lafaz itu?

Dalam sistem demokrasi ala Westminster yang menjunjung Raja Berperlembagaan, tiada sebarang keanehan pun dengan istilah itu. Ia fenomena yang lumrah. Saya rasa aneh bila ada yang sanggup mengeksploitasi istilah tersebut!

Amat tidak wajar dan amat tidak beretika sama sekali untuk mengheret institusi DiRaja sepertimana juga tidak wajar mengeksploitasi isu agama dan perkauman demi kelangsungan jangka hayat politik yang kita tahu sedang begitu nazak sekarang !

MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN
Ahli Parlimen Sepang