‘Saya ketawa melihat percikan api keluar dari enjin’, Penumpang kongsi detik nahas kebakaran pesawat Japan Airlines

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Penerbangan antara bandar utara Sapporo dan Lapangan Terbang Haneda Tokyo adalah laluan udara paling sibuk di Jepun, bahkan di seluruh dunia.

Japan Airlines (JAL) mengendalikan 16 penerbangan pergi balik setiap hari.

Namun, ketika penerbangan JAL516 mengikuti laluan tersebut ke Haneda pada hari Selasa, berlaku insiden perlanggaran di landasan,

'Saya ketawa melihat percikan api keluar dari enjin', Penumpang kongsi detik nahas kebakaran pesawat Japan Airlines

Di mana proses pemindahan dan penyelamatan yang lancar dianggap sebagai satu bentuk keajaiban oleh beberapa pihak, termasuk pakar penerbangan.

Semua 379 penumpang dan anak kapal berjaya keluar menyelamatkan diri dari pesawat Airbus A350 yang terbakar selepas bertembung dengan pesawat pengawal pantai yang lebih kecil sejurus mendarat.

Lima dari enam kru pesawat pengawal pantai itu terbunuh.

Satoshi Yamake, 59, yang baru saja melawat saudara-mara di kampung halamannya, kembali ke ibu kota dalam keadaan terkejut. Fikirannya terus melayang ke detik pertemuan semula dengan isterinya, Mika, ketika roda pesawat tergelincir di atas landasan, diikuti dengan bunyi geseran dan dentuman.

Beliau kemudian melihat bahagian enjin terbakar melalui tingkapnya. Syarikat itu menyatakan bahawa perlanggaran berlaku tiba-tiba selepas pesawat mendarat pada 5.46 petang (0846 GMT).

Eksekutif syarikat penerbangan tersebut dalam sidang media malam itu menegaskan bahawa kapten telah diberi kebenaran untuk mendarat, tetapi kemungkinan besar tidak dapat melihat pesawat pengawal pantai Bombardier Dash-8 yang lebih kecil berada di bawahnya.

Pihak berkuasa sedang menyiasat keadaan kejadian yang, menurut pakar penerbangan, sangat luar biasa. Walaupun insiden keselamatan seperti ini pernah berlaku sebelum ini, industri penerbangan telah berjaya mengurangkan secara drastik jumlah kemalangan yang disebabkan oleh perlanggaran atau pencerobohan landasan sejak penggunaan pengesan dan prosedur darat yang lebih baik.

Ketika pesawat tergelincir, kapten pesawat pengawal pantai, Genki Miyamoto, 39, dapat keluar dari serpihan pesawat dan menghantar isyarat komunikasi ke pangkalannya.

“Pesawat itu meletup di landasan. Saya melarikan diri. (keadaan) anak kapal lain tidak diketahui,” katanya menurut pengawal pantai.

Lima lagi kru, berusia antara 27 dan 56, meninggal dunia. Kabin pesawat cepat dipenuhi asap sementara beberapa penumpang yang cemas mula bergerak untuk menyelamatkan diri.

“Tolong bawa saya keluar dari sini,” jerit seorang wanita dalam video yang dikongsi ketika detik cemas dalam pesawat itu.

“Mengapa kamu tidak membuka saja (pintu),” teriak seorang kanak-kanak.

“Saya benar-benar fikir saya akan mati. Selepas kemalangan itu berlaku, saya pada mulanya ketawa dapat melihat beberapa percikan api keluar (daripada enjin) namun apabila api mula marak, saya menyedari ia sesuatu yang bahaya,” kata penduduk Tokyo, Tsubasa Sawada, 28, yang pulang dari bercuti di Sapporo bersama teman wanitanya.

Kru penerbangan segera menggesa penumpang untuk bertenang, sambil berkata “tolong beri kerjasama,” menurut rakaman video yang dikongsi. Di luar pesawat, 115 anggota unit pemadam kebakaran dikerah ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran yang bermula di bahagian belakang pesawat dan akhirnya membakar seluruh pesawat.

Yamake, yang duduk di bahagian hadapan pesawat, mengatakan bahawa walaupun beberapa penumpang berasa sangat cemas, anak kapal dengan cepat mengerahkan pelungsur pemindahan dan penumpang mula turun dengan teratur.

Syarikat penerbangan tersebut menyatakan bahawa pemindahan bermula sejurus pesawat terhenti dan semua penumpang dibawa ke tempat selamat dalam tempoh kurang 20 minit. Rakaman video menunjukkan penumpang dipindahkan dengan tenang, tanpa membawa sebarang bagasi.

Agensi keselamatan penerbangan memberi amaran bahawa mengambil bagasi ketika proses pemindahan boleh membahayakan nyawa. Paul Hayes, pengarah keselamatan udara di syarikat perundingan penerbangan Ascend by Cirium berpangkalan di UK, menyatakan bahawa “krew kabin sudah melakukan kerja yang sangat baik. Kelihatannya tidak ada barang dibawa turun. Ia satu keajaiban di mana semua penumpang turun.”

Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Jepun pada taklimat media berkata, prosedur pemindahan mangsa oleh syarikat penerbangan itu dijalankan dengan sewajarnya. Sawada mengungkapkan, kira-kira 10 minit selepas mereka turun, terdengar letupan di dalam pesawat.

“Saya hanya boleh mengatakan ia satu keajaiban; kami boleh mati jika kami terlambat. Saya ingin tahu mengapa ini berlaku dan mungkin tidak mahu lagi menaiki kapal terbang,” katanya.

BACA: “Adik aku elok duduk diam, atok tiba-tiba lepuk kepala adik sampai susah bernafas, aku bangun terus lepuk kepala atok sampai terduduk”