Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan segelintir Ahli Parlimen yang mempersendakan beliau dengan perkataan ‘ketimbang’ sebagai kebingungan.
Perdana Menteri menegaskan bahawa sebagai pemimpin masyarakat, Ahli Parlimen tersebut sepatutnya meningkatkan penguasaan bahasa.
“Saya pakai songkok senget pun mereka marah, pakai baju Melayu dengan capal pun tidak kena.
“Saya guna istilah baharu seperti ‘ketimbang’ pun mereka bingung… tidak faham.
“Kita sebagai pemimpin perlu meningkatkan penguasaan bahasa. Dahulu, istilah seperti mampan, telus, dan kesenjangan tidak popular.
Saya memperkenalkan dan mempopularkannya. Jadi, kita didik anak-anak menggunakan bahasa yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Padang Rengas di Arena Square Pekan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa pada hari pertama perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, mendakwa perkataan ‘ketimbang’ membawa maksud kencing, tipu, dan sembang.
Perkataan itu mendapat perhatian ramai kerana sering diucapkan oleh Anwar, termasuk ketika membentangkan Belanjawan 2025.
Anwar menjelaskan bahawa beliau lebih cenderung untuk tidak melayan cemuhan segelintir pihak dan memilih untuk memberi tumpuan kepada tugasnya.
“Bagi saya, jika hendak jawab isu ini… letih kita, kerja pun tidak jalan.
“Saya sebut sedikit tentang perkara ini supaya orang tidak keliru. Jawab sedikit-sedikit sudah cukup, kita nak tumpu kerja.
“Sebab itu saya nak nasihatkan kawan-kawan dari semua parti, buat kerja, nak gaduh tunggu pilihan raya. Sekarang fokus pada kerja, angkat martabat rakyat dan negara kita,” ujarnya.
Kelmarin, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilaporkan akan memasukkan perkataan ‘ketimbang’ ke dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.
DBP menjelaskan bahawa perkataan itu merupakan kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu
BACA: ‘Rupanya sebab aku tak kerja, aku dibenci mak mertua, aku sedar kat mana kedudukan aku’