Sayu!!! Susulan PKP 2.0, rumah orang tua sunyi tanpa pelawat

Sayu!!! Susulan PKP 2.0, rumah orang tua sunyi tanpa pelawat

Pengurus rumah orang tua menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berkata, sekatan tersebut menjejaskan mereka dari segi emosi dan kewangan.

Yap Ying Long, pengerusi Pertubuhan Kebajikan Lao Yin Kah, iaitu sebuah rumah orang tua di Kepong berkata, sekatan terhadap lawatan menyebabkan penghuni berasa kesunyian dan tidak gembira.

“Orang-orang tua juga memerlukan kawan, jadi penting mereka dilawati oleh orang yang tersayang dan keluarga untuk mententeramkan apa juga tekanan emosi yang mereka hadapi,” katanya.

Yap bagaimanapun mengakui sekatan itu bertujuan memastikan warga emas tidak dijangkiti wabak Covid-19.

Katanya, larangan terhadap pelawat juga mengakibatkan berkurangnya sumbangan daripada orang ramai.

“Kami bergantung sepenuhnya pada sumbangan kerana kami adalah NGO. Kami tidak mempunyai sumber kewangan lain bagi menampung (keperluan) rumah kebajikan ini.

“Sejak PKP dikenakan semula pada 13 Jan lepas, sumbangan kami berkurang kepada 30%,” katanya.

Beliau berkata, PKP juga bermakna ramai penghuni rumah itu tidak dapat menjalani pemeriksaan kesihatan mereka.

“Biasanya ahli keluarga mereka akan datang dan menemani mereka untuk janji temu dengan doktor.

“Mujurlah kebanyakan mereka masih mempunyai bekalan ubat sekurang-kurangnya untuk dua bulan lagi.”

Pengurus kejururawatan dan pentadbiran rumah My Aged Care, Maureen Arasu berkata, mereka kini beralih kepada panggilan video bagi memastikan penghuni rumah sentiasa berhubung dengan ahli keluarga, terutama bagi mereka yang masih ingat dan mengenali ahli keluarga.

“80% penghuni menghidapi dementia, jadi tidak banyak bezanya, tetapi bagi yang lain, kami berusaha dan terus memberi mereka sokongan moral yang diperlukan daripada keluarga masing-masing,” katanya kepada FMT.

Maureen berkata, rumah itu juga berusaha sebaik mungkin bagi memastikan penghuni tidak terlepas temu janji perubatan mereka.

“Mereka akan ditemani sama ada oleh ahli keluarga atau kakitangan. Kami juga mengatur perundingan perubatan melalui aplikasi Zoom bagi mereka yang tidak perlu berjumpa doktor,” katanya.- FMT