Seharian bermesyuarat, Umno kekal keputusan lama terus sokong Muhyiddin

Seharian bermesyuarat, Umno kekal keputusan lama terus sokong Muhyiddin

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini membuat keputusan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan menggesa prinsip kerjasama berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik ditambah baik.

Mesyuarat yang berlangsung lebih 4 jam itu turut menyarankan inisiatif rekonsilasi nasional atau agenda perdamaian nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung bawah kerajaan PN dan juga parti pembangkang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan parti itu kekal dengan keputusan sebelum ini untuk tidak mengadakan kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Mesyuarat malam ini juga mahu kerajaan mengambil pendekatan lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi terhadap kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu malam tadi.

Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dilihat keluar dari Menara Dato Onn di ibu negara pada 12.15 tengah malam selepas tiba di pada 8 malam.

Antara yang kelihatan Ahmad Shabery Cheek, Shahidan Kassim, Puad Zarkashi, Tajuddin Abdul Rahman, Rosnah Rashid Shirlin, Zahidi Zainul Abidin, Rahman Dahlan serta Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Beberapa pemimpin Umno lain ketika ditemui selepas mesyuarat itu enggan memberikan sebarang komen.

Mereka meminta kumpulan media menunggu kenyataan rasmi daripada presiden parti untuk maklumat lanjut.

Terdahulu, ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bermesyuarat dipercayai bagi membincangkan situasi semasa menjelang Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat 6 November ini selain kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Difahamkan pertemuan itu juga diadakan susulan Yang di-Pertuan Agong memutuskan tiada keperluan pelaksanaan darurat.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/27/umno-terus-sokong-muhyiddin/