Sejak 14 bulan SG4 dilancarkan, tiada sebarang nama pelabur diumumkan

Oleh GEMILANGDAILY

Tatkala SG4 (Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis) semakin lesu dengan tiada pelaburan antarabangsa diumumkan

sejak pelancarannya setahun lalu, pelan The Greater Kedah berisiko menjadi retorik politik baru PN.

Semasa pelan The Greater Kedah dilancarkan baru-baru ini, agenda politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor,

jelas kelihatan apabila beliau menamakan isu Sungai Muda sebagai salah satu “perjuangan” mereka.

Sanusi terus memainkan sentimen bahawa sumber air Kedah diambil secara percuma oleh Pulau Pinang.

Sejak 14 bulan SG4 dilancarkan, tiada sebarang nama pelabur diumumkan

Namun, hakikatnya, Pulau Pinang adalah pemilik bersama Sungai Muda untuk 30 km terakhir sungai tersebut.

Oleh itu, Pulau Pinang hanya menggunakan sumber air yang melalui tanah negeri tersebut berdasarkan prinsip Riparian.

SG4 sudah hampir 14 bulan berlalu sejak diumumkan. Walaupun PN mendakwa telah menerima komitmen pelaburan dari Korea Selatan, Jepun, dan China, tiada sebarang nama pelabur diumumkan.

Jika benar pelaburan tersebut wujud, adakah PN telah mencapai nilai pelaburan tanpa sebarang bantuan agensi persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida)?

Hakikatnya, tanpa Mida, negeri seperti Kedah tidak akan dapat menikmati sebahagian besar pelaburan asing seperti sekarang.

Kurangkan Jurang Ekonomi
Mida telah membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit ke empat negeri di bawah pentadbiran PN. Misalnya, untuk enam bulan pertama tahun ini, pelaburan sebanyak RM32 bilion dibawa masuk ke Kedah.

Ini menunjukkan kerajaan Madani tidak mengamalkan sikap pilih kasih sebaliknya menjunjung prinsip federalisme kerana semua empat negeri yang ditadbir PN diberikan hak pembangunan secara seimbang.

Selain itu, dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus mengangkat kebajikan dan kemajuan Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Belanjawan tersebut menyebut rancangan kerajaan untuk mewujudkan perkumpulan ekonomi (economic cluster) mengikut keistimewaan masing-masing, seperti industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu, serta tenaga boleh diperbaharui di Perlis dan Sabah.

Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.

Belanjawan 2025 juga menyebut mengenai projek hab hidrogen Terengganu yang akan dilaksanakan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Walaupun PN cuba menyemai benih antifederalisme menerusi retorik SG4, kerajaan terus mencari jalan untuk menambah baik sosioekonomi Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan tanpa mengira agenda politik.

Inilah prinsip keadilan yang dituntut oleh Islam: pelaksanaan mengatasi kata-kata.

FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agung Amanah.

BACA: Ibu mengaku tak bersalah letak bayi usia 1 bulan dalam oven! Alasan tersalah letak