Berita mengenai permohonan cerai Syamsul terhadap Ira, yang belum pun genap setahun perkahwinan mereka,
mengejutkan ramai walaupun spekulasi mengenai perpisahan mereka sudah mula tersebar akhir tahun lalu.
Seolah-olah tiada apa yang berlaku, pelakon Ira Kazar terus aktif mempromosikan produk makanan kesihatan
meskipun berita perceraian dengan pengarah Syamsul Yusof mula tersebar petang semalam.
Ira, atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, yang baru sehari membuat hantaran pertama di Instagram
selepas hampir setahun tidak aktif di aplikasi sosial tersebut, dilihat ceria dalam video yang dikongsikan di Insta Story.
Menurut laporan Kosmo!, video produk itu dimuat naik sekitar pukul 3 petang semalam, iaitu lebih kurang sejam selepas suaminya memfailkan permohonan perceraian.
Perkara ini disahkan oleh peguam Syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Rais, yang memaklumkan bahawa anak guamnya memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada pukul 2 petang semalam.
Sebelum ini, anak pelakon Kazar Saisi ini sudah lama tidak memuat naik sebarang status di Instagram, tetapi pernah berkongsi gambar bersama Syamsul sekitar Jun lalu, selepas suaminya sah bercerai dengan Puteri Sarah Liyana.
Lebih banyak menggunakan TikTok untuk berkongsi masakan, Ira berhenti berbuat demikian sejak Julai lalu, yang dikatakan oleh sesetengah pihak kerana dia dikhabarkan sedang hamil.
Namun, khabar angin itu disangkal apabila semalam wanita berusia 24 tahun itu berkongsi gambar menunggang kuda.
Tiada persefahaman menjadi alasan kepada sutradara berusia 40 tahun itu untuk memilih perceraian, dan berita ini menimbulkan tanda tanya, termasuk kepada bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam.
Pasangan tersebut bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu, yang kemudian disahkan oleh Syamsul sendiri menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram.
Rentetan itu, Puteri Sarah Liyana, yang juga isteri Syamsul ketika itu, nekad memfailkan perceraian sebelum mereka berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.