Sekarang masa terbaik tarik balik sokongan terhadap PM

Sekarang masa terbaik tarik balik sokongan terhadap PM

Sekarang adalah masa paling terbaik kepada ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menarik sokongan daripada kerajaan pakatan itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, saranan itu dikemukakan pihak pembangkang kerana semua pihak harus mengelak daripada berlakunya pilihan raya tatkala kes Covid-19 masih lagi tidak menentu.

Menurutnya, hal ini merupakan salah satu daripada proses pengabsahan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menentukan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau.

“Sehingga kini, beliau masih belum mendapat keabsahan secara tuntas kerana usul berkaitan keabsahan itu tidak diangkat menjadi usul yang diundi di Dewan Rakyat.

“Cuma ada usul berkaitan bajet, itu pun dengan perbezaan sedikit undi. Undi ini tidak mencerminkan kedudukan kerajaan pimpinan Muhyiddin ini kerajaan yang kuat tapi ia adalah kerajaan yang lemah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menggesa ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Puad berkata, cadangan beliau itu susulan kegagalan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengotakan janji.

Ini terutamanya dalam mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian enam bulan moratorium secara automatik.

“Betul, MP akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan ‘keberanian politik’.

“Justeru, apa langkah seterusnya yang boleh dilakukan? Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat.

“Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup. Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” kata Mohd Puad menerusi Facebook miliknya, pada Khamis.

Mahfuz berkata, usaha membuktikan keabsahan kerajaan Muhyiddin perlu diteruskan pada masa hadapan bagi mengembalikan mandat rakyat.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/116317/BERITA/Politik/Sekarang-masa-terbaik-tarik-balik-sokongan-terhadap-Muhyiddin-kata-Mahfuz