Sekiranya anda tidak divaksin, mungkin ada kekangan untuk bergerak ke sana sini – Muhyiddin

Sekiranya anda tidak divaksin, mungkin ada kekangan untuk bergerak ke sana sini – Muhyiddin

Saringan sejarah kesihatan dan alahan individu akan dijalankan terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka yang tidak sesuai, tidak diberi suntikan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, di Putrajaya hari ini.

Muhyiddin berkata selepas seseorang diberi suntikan vaksin, pemantauan akan dibuat selama 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin, sebelum mereka dibenarkan pulang, bagi memastikan tiada reaksi alahan yang serius berlaku sejurus menerima suntikan.

Beliau berkata vaksin berkenaan mungkin mempunyai kesan sampingan ringan seperti bengkak di tempat suntikan, namun kesan seperti itu dipercayai akan pulih dengan sendiri.

Mengambil perkembangan negara-negara lain yang telah melaksanakan program vaksinasi Covid-19 dengan selamat, beliau berharap tidak berlaku perkara luar biasa di Malaysia yang memerlukan kerajaan mengkaji semula perkara berhubung program vaksinasi berkenaan.

“Jadi kita harap dengan keadaan yang diperhatikan berlaku di banyak negara, maka demikian juga diharap berlaku di Malaysia.

“Seperti mana saya telah melawat Indonesia dan berjumpa dengan Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) yang sudah menerima vaksin, (beliau) nampak sihat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan untuk memastikan program imunisasi itu boleh diteruskan sehingga satu peringkat semua rakyat yang layak menerima vaksin berkenaan.

Ditanya mengenai sasaran 80 peratus penduduk di negara ini menerima vaksin Covid-19 memandangkan ramai yang meragui keberkesanannya, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan mewajibkan pengambilan vaksin itu seperti yang dilaksanakan di negara-negara lain.

“Orang ramai perlu memahami bahawa mereka akan menghadapi kesulitan dalam jangka panjang termasuk larangan perjalanan kerana kebanyakan negara mungkin melarang orang yang tidak divaksin masuk (ke negara mereka).

“Sekiranya anda tidak divaksin, mungkin ada kekangan untuk bergerak ke sana sini,” katanya.

Muhyiddin berkata kejayaan program imunisasi penting kepada ekonomi kerana sektor tertentu seperti pelancongan dapat beroperasi semula.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563149