Pernahkah anda terfikir, mengapakah kebanyakkan lif di Malaysia dan juga luar negara selalunya dilengkapi dengan cermin di dindingnya.
Bukan sekadar alat untuk melihat refleksi diri, cermin rupa-rupanya ‘menjalankan tanggungjawab’ penting sehingga ia diletakkan di dalam hampir semua lif di dunia.
Umum mengetahui, lif selalunya dibina dalam saiz yang kecil dan perkara ini secara tidak langsung telah menimbulkan perasaan cemas dan takut kepada penggunanya.
Situasi ini cukup membahayakan keselamatan terutamanya bagi penghidap penyakit claustrophobia yang memiliki fobia atau ketakutan melampau kepada ruang sempit.
Oleh yang demikian, syarikat pengeluar lif tampil mengemukakan dua penyelesaian dalam menangani masalah tersebut termasuklah memasang cermin di dindingnya.
Penyelesaian kedua pula agak berbahaya untuk keselamatan pengguna di mana kelajuannya ditingkatkan bagi mengurangkan masa penumpang berada di dalamnya.
Jalan penyelesaian terbaik yang dipilih tentunya dengan memasang cermin kerana ia mampu berfungsi sebagai ‘gangguan’ terhadap orang ramai ketika menggunakannya.
Hal ini kerana, cermin dipercayai boleh membuatkan pengguna lif merasa leka dan menghabiskan masa untuk meneliti persekitaran berbanding perasaan takut mereka.
Sebagai contoh, pengguna mungkin menggunakan masa berada di hadapan cermin untuk meneliti pakaian yang mereka pakai berbanding berimaginasi yang bukan-bukan.
Bukan itu sahaja, cermin juga membuatkan ruang lif terlihat lebih besar lalu mereka yang mengalami penyakit claustrophobia akan berasa lebih selesa dan juga selamat.
Secara kesimpulannya, kewujudan cermin di dalam lif ini bertujuan bagi mengalihkan gangguan pengguna daripada berfikir mengenai perkara-perkara yang menakutkan.
Cukup berkesan dalam memberi ilusi keluasan dalam lif, artikel ini ditulis berdasarkan penulisan di laman portal yang mendedahkan pengetahuan sains, Scienceabc.com.