Seorang ibu tidak pernah menyangka nama indah yang diberikan kepada anak perempuannya, Awan, tujuh tahun lalu, kini menjadi punca tekanan buat si kecil.
Menginjak usia persekolahan, murid darjah satu itu kerap menangis kerana diejek oleh rakan-rakan yang menganggap namanya pelik.
Buntu memikirkan situasi ini, si ibu meminta pandangan orang ramai tentang cara terbaik untuk memulihkan keyakinan anaknya agar dapat menerima keunikan nama tersebut.
Nama Penuh Bermakna, Dipilih dengan Penuh Kasih
Menurut ibu itu, nama penuh Awan dipilih oleh suaminya, seorang penggemar komik Pedang Setiawan dan peminat karakter Awan yang dilakonkan oleh Aaron Kwok. Baginya, nama itu bukan sahaja unik tetapi juga membawa maksud yang indah.
“Idea suami, dia mahu nama yang mencerminkan kelembutan, kesucian, ketegasan, serta keteduhan seperti sifat awan di langit. Namun, ada kalanya awan boleh bertukar menjadi ribut – kuat dan berkuasa. Itulah harapan kami untuk Awan,” katanya.
Namun, situasi berubah apabila Awan sering menjadi bahan ejekan rakan-rakannya. “Dia minta tukar nama sebab diejek. Kami cuba pujuk, beritahu betapa istimewanya nama dia. Tapi makin kuat menangis,” tambah ibu itu.
Ibu Bapa Pernah Diejek Nama
Ironinya, ibu bernama Fatimah dan suaminya juga pernah menjadi bahan ejekan sewaktu kecil. Justeru, mereka memilih nama yang dirasakan ‘selamat’ untuk anak-anak.
“Kalau ikut saya, nak letak nama dia Bushra Lana yang bermaksud Kegembiraan Kami. Tapi suami takut kena ejek ‘bush bush’. Akhirnya, Awan juga jadi bahan ejekan,” jelasnya dengan nada kecewa.
Netizen Beri Sokongan
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen, ramai yang memberikan sokongan dan cadangan.
“Saya pernah benci nama sendiri sebab tak sama dengan kawan-kawan. Tapi, bila ada yang puji dan terangkan maksud nama saya, perlahan-lahan saya belajar menghargainya,” kata seorang pengguna.
Ada juga yang menyarankan agar ibu itu membantu anaknya membina keyakinan diri. “Ajar dia perkenalkan dirinya dengan bangga.
Contoh, ‘Hai, nama saya Awan.’ Ceritakan juga tentang keindahan awan. Lama-lama dia akan yakin,” tambah seorang lagi.
Sejujurnya, nama seperti Awan bukan sahaja unik tetapi penuh makna.
Sokongan keluarga dan pencerahan tentang makna di sebalik nama mungkin dapat membantu Awan menghadapi situasi ini dengan lebih baik.
BACA: ‘Nak menunjuk kekayaan untuk apa? Esok kena tarik mana tahu?’ – Ryan Bakery