Selangor salur sumbangan RM2 juta kepada Pahang, Kelantan dan Terengganu

Selangor salur sumbangan RM2 juta kepada Pahang, Kelantan dan Terengganu

Tiga negeri di Pantai Timur yang terkesan akibat kejadian banjir baru-baru ini menerima sumbangan berjumlah RM2 juta daripada kerajaan Selangor, hari ini.

Sumbangan itu berjumlah RM1 juta kepada negeri Pahang, dan masing-masing RM500,000 kepada Kelantan dan Terengganu.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pihaknya mengucapkan terima kasih atas ingatan rakan sejawatannya Amirudin Shari.

“Ini sebagai perbelanjaan bagi meringankan beban penduduk negeri ini yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

“Walaupun hanya dapat bersemuka secara atas talian demi mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP), namun ia amat bermakna,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Penghargaan sama turut dinyatakan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob sambil menjelaskan sumbangan itu akan digunakan untuk membantu kerajaan negeri itu dalam usaha pemulihan pascabanjir.

“Saya bersama-sama menteri besar Selangor secara atas talian berkongsi pengalaman mengenai situasi banjir Kelantan dan menyempurnakan simbolik penyerahan.

“Sumbangan tersebut amat bermakna kepada rakyat Kelantan. Terima Kasih,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Sementara itu Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut sumbangan itu dengan pepatah Melayu ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’.

“Alhamdulillah, setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor atas sumbangan RM500,000 bagi membantu kerajaan negeri Terengganu dalam usaha pemulihan pascabanjir,” katanya. –MK