Selepas sembilan tahun, ikatan perkahwinan antara penyanyi, Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Seri Adnan Abu
akhirnya terlerai apabila pasangan itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat.
Datuk Red, yang berusia 43 tahun, melafazkan cerai talak satu pada pukul 9.39 pagi di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar
selepas mahkamah membenarkan permohonan Adira sebagai plaintif mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mahkamah kemudian mensabitkan perceraian talak satu dan memerintahkan Adira, 33 tahun,
untuk menjalani tempoh iddah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.
Pada hari ini, lantikan hakam tidak ditetapkan kerana kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara baik berdasarkan terma-terma yang kemudiannya direkodkan oleh Hakim Syarie itu.
Dalam prosiding sebelum ini, laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) melaporkan bahawa Adira dan suaminya gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai mengenai proses perceraian mereka. Laporan JKP tersebut juga menyatakan adanya perbalahan yang berpanjangan antara pasangan tersebut.
Meskipun laporan JKP gagal, Adnan tetap tidak mahu menceraikan isterinya manakala Adira masih berpendirian untuk bercerai.
Semasa prosiding, Datuk Red diwakili oleh peguam syarie Muhammad Akmal Amzan manakala Adira diwakili oleh peguam syarie Nor Saidah Zakaria.
Sebelum ini semasa proses JKP, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP manakala Adira melantik kakaknya, Emma Suhaimi, bagi wakil JKP.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada ahli keluarga yang rapat dengan pasangan tersebut bertujuan memberi nasihat dan mencari penyelesaian dalam masalah rumah tangga.
Sementara itu, hakam dilantik apabila mahkamah berpuas hati bahawa perbalahan terus berlaku dalam perkahwinan walaupun usaha perdamaian telah dilakukan pada peringkat JKP.
Adira memfailkan permohonan cerai buat kali kedua pada 25 Oktober tahun lalu selepas mendakwa tidak lagi terdapat persefahaman dalam perkahwinan mereka. Menurutnya, perpisahan merupakan satu-satunya jalan untuk menyelesaikan isu rumah tangga mereka.
Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Mereka dikurniakan empat orang anak, iaitu Anggrek, Asan, Anggun, dan Ayob.
BACA: ‘Patutlah meniaga kencang puak ni!’ Temberang pembeli besi buruk Rohingya terbongkar