Selepas bajet lulus, Mukhriz ingatkan ‘Biar mati berdiri daripada hidup melutut’

Selepas bajet lulus, Mukhriz ingatkan ‘Biar mati berdiri daripada hidup melutut’

Setelah Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di peringkat dasar menerusi undian suara di Dewan Rakyat tadi dan tidak ke peringkat undi belah bahagi, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir menitipkan ciapan ringkas di Twitternya.

“Biar mati berdiri, daripada hidup melutut,” ciapnya penuh berkias.

Ia dipercayai merujuk kepada hanya 13 ahli Parlimen yang bangun menyokong undian belah bahagi untuk Belanjawan 2021.

Bilangan itu kurang dua orang untuk mencukupkan sokongan agar proses itu diadakan. Mukhriz yang merupakan presiden penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah salah seorang daripada mereka.

Permintaan undi belah bahagi dimulakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena dari Amanah, Mahfuz Omar.

Setelah kritikan terhadap Belanjawan 2021, termasuk ketika sesi perbahasan, langkah ahli Parlimen pembangkang untuk tidak menggesa undi belah bahagi menjadi tanda tanya. Malah langkah itu sudah mula dikritik di media sosial.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Subang Wong Chen memberi bayangan tentang khabar angin bahawa ada ahli parlimen pembangkang telah dipujuk untuk menyokong Belanjawan 2021 dengan menawarkan sumber dan peruntukan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/552666