Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah kembali mencetuskan kontroversi
selepas Malaysia meraih kemenangan di Mahkamah Agung Perancis baru-baru ini.
Paul Cohen, peguam utama yang mewakili pihak waris Kesultanan Sulu, mengejutkan ramai pihak
apabila menganggap kemenangan Malaysia ini sebagai keputusan yang “makan diri sendiri”.
Menurut Cohen, keputusan mahkamah Perancis yang menolak rayuan mereka terhadap pembatalan “Final Award” yang berjumlah hampir USD15 bilion (sekitar RM71 bilion)
oleh arbitrator Sepanyol, Dr. Gonzalo Stampa, sebenarnya membuka ruang baru yang lebih besar.
Cohen menyatakan bahawa kliennya kini bebas untuk mengambil tindakan terhadap Sabah, termasuk kemungkinan menyewakannya kepada negara lain, seperti China atau Filipina, seperti yang dijelaskan dalam satu emel kepada New Straits Times (NST).
Keputusan yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa sebelum ini sepatutnya memberikan pampasan kepada waris Sulu untuk menyerahkan “hak” mereka ke atas Sabah, dengan nilai hampir USD15 bilion. Namun, dengan pembatalan keputusan itu,
Cohen mendakwa waris Kesultanan Sulu kini bebas untuk bertindak ke atas Sabah, sama ada dengan menyewakannya kepada negara lain atau menguruskan hak mereka tanpa sebarang halangan.
Cohen turut menegaskan bahawa setiap keputusan mahkamah dalam kes ini, termasuk di Perancis, mengakui kewujudan perjanjian sewaan (lease agreement) Sabah antara waris Sulu dan Malaysia.
Perjanjian tersebut dikatakan bergantung pada pembayaran tahunan yang tidak dilaksanakan oleh Malaysia.
Dengan pembatalan keputusan arbitrator tersebut, Cohen mendakwa waris Kesultanan Sulu kini bebas untuk menamatkan perjanjian sewa itu dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap Sabah, termasuk kemungkinan untuk memindahkan perjanjian tersebut kepada negara jiran seperti Filipina atau China, yang pastinya akan menimbulkan ketegangan diplomatik bagi Malaysia.
Namun, kenyataan tersebut segera disangkal oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),
Dato’ Sri Azalina Othman Said. Azalina menegaskan bahawa tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah adalah satu “penipuan Sulu” atau “Sulu fraud” yang bertujuan meruntuhkan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.
Azalina juga mengingatkan Malaysia agar berwaspada terhadap sebarang percubaan di masa hadapan yang mungkin mencabar keputusan mahkamah Perancis ini.
BACA: Harga barang mentah turun tapi Persatuan kedai mamak di Johor berhasrat naikkan 5% harga makanan