Selepas menang PRN Sabah Muhyiddin minta jangan ditanya bila PRU

Selepas menang PRN Sabah Muhyiddin minta jangan ditanya bila PRU

“Jangan ditanya bila pilihan raya tetapi kalau Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya, dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) akan diteruskan,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, meskipun WKB 2030 direka dan dilancarkan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan namun beliau tetap meneruskan dasar tersebut kerana ia adalah satu polisi yang bagus untuk rakyat dan negara.

Justeru beliau meminta rakyat untuk terus menyokong PN bagi memastikan dasar-dasar yang memberi kebaikan serta menyelesaikan banyak masalah rakyat dapat diteruskan.

“Persoalannya di sini adalah pimpinan lain pada masa hadapan komited atau tidak (untuk menjayakan WKB 2030).

“Ini bukan sebuah dasar yang boleh menyelesaikan semua masalah tetapi ianya mampu mengatasi kebanyakan masalah (yang dihadapi rakyat).

“Jadi, ianya bukan satu dasar yang kecil namun begitu cabarannya perlu ditanggung oleh kita.

“Kalau PN, kami sanggup memikul tanggung jawab besar ini. Komitmen kami total bukan separuh masak,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri menjawab soalan penonton pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini yang bertanya apakah jaminan WKB 2030 akan diteruskan sekiranya berlaku cabaran politik atau pertukaran pimpinan negara sedangkan ia sebuah dasar yang bagus.

WKB 2030 adalah sebuah pelan hala tuju kerajaan dalam menyediakan taraf hidup selesa kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, latar belakang dan kawasan.

Ianya adalah sebuah pelan bertempoh 10 tahun.-MalaysiaGazette

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/09/29/jangan-ditanya-bila-pru-muhyiddin/