Semakin ramai pemimpin Umno pilih menyepikan diri dari pertahan Presiden sendiri

Semakin ramai pemimpin Umno pilih menyepikan diri dari pertahan Presiden sendiri

Pada 2 Feb lalu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka – dan sinis – memohon maaf kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi anggota parlimen parti itu yang ada dalam kabinet Muhyiddin Yassin.

Dua hari kemudian, Zahid mendedahkan dia serta lima anggota parlimen Umno hanya mendapat sebahagian kecil peruntukan kerajaan berbanding apa yang biasa diterima oleh penyokong kerajaan.

Di sebalik kedudukannya sebagai presiden, Muhyiddin tidak membawa Ahmad Zahid menduduki mana-mana jawatan dalam kabinet. Daripada 32 anggota kabinet sekarang, Umno diwakili sembilan ahli parlimen.

Antaranya Annuar Musa dan Ismail Sabri Yaakob.

Pemimpin Umno yang dulunya lantang bersuara pula kini nampak seperti banyak berdiam diri. Malah, ramai juga enggan mengulas isu itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Beberapa penganalisis politik memberitahu Malaysiakini, biasanya memang pemimpin Umno akan mempertahankan presiden mereka. Namun katanya sikap berdiam diri seperti yang dilakukan sekarang menunjukkan mereka kini tidak lagi memihak kepada Ahmad Zahid.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya percaya, anggota parlimen Umno dan pemimpin parti tidak akan mempertahankan Zahid kerana ingin menjaga kedudukan mereka ketika ini.

Melihat Bersatu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memegang kuasa eksekutif, katanya, ramai pemimpin Umno gusar sama ada “presiden mereka” masih mampu bertahan atau tidak pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sikap ini adalah sikap terserlah selepas BN dan Umno tewas dalam PRU 2018.

“Sekiranya kumpulan Zahid dijangka menang pada PRU ke-15, orang yang hipokrit ini akan berusaha untuk menyokong presiden Umno itu kembali dan cuba menebus kesalahan mereka,” kata Awang Azman.

Bekas pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Jeniri Amir pula berkata, pemimpin Umno berdiam diri kerana menganggap Ahmad Zahid adalah pemimpin yang bermasalah.

“Jalan terbaik adalah dengan mendiamkan diri. Dengan mendiamkan diri, ini akan memberi mesej jelas kepada ahli dan rakyat bahawa beliau sudah tidak menerima sokongan lagi,” kata felo kanan Majlis Profesor Negara itu kepada Malaysiakini.

Penganalisis politik Azmi Hassan berpendapat sikap ditunjukkan pemimpin lain dalam Umno adalah petunjuk kepada pergolakan dalaman parti dan wujud gerakan bersama untuk menggulingkan presiden mereka.

“Jadi dalam hal ini tidak dapat dinafikan ada gerakan (untuk jatuhkan Ahmad Zahid) dan peruntukan RM100,000 itu adalah salah satu strategi yang saya lihat sebagai pecah dan belah dalam Umno itu sendiri,” kata Azmi.

Azmi turut bersetuju strategi PN itu – jika benar ada – akan membawa akibat buruk kerana sifatnya yang tidak adil yang akhirnya memangsakan para pengundi.

Jelas Azmi, strategi untuk memecah-belahkan Umno tidak halus akan pengundi dapat nilai niat utama PN.

“Jadi bagi saya, kalau itulah niat sebenar PN, ia akan memakan diri sendiri […] kerana tak logik, dalam satu parti peruntukan yang diberi oleh kerajaan adalah berlainan,” tambahnya.

Bagi pihak yang tidak berada dalam parti terbabit pula kata Azmi mereka akan melihat PN gagal bersikap adil walaupun sesama parti dalam gabungan sendiri.

“Jadi ini adalah persepsi yang tidak baik. Sebab itu saya menilainya ia akan memakan diri sendiri,” tambah Azmi.

Jeniri menyatakan, keputusan PRU lalu menunjukkan faktor masalah pembangunan berada di tempat kedua keutamaan berbanding hubungan peribadi calon dengan kawasan masing-masing.

“Jadi kadang-kadang rakyat tidak peduli (sama ada) peruntukan RM100,000 atau RM3 juta saya rasa bukan itu yang akan beri kesan besar pada kawasan itu.

“Pokok pangkalnya saya rasa akan bergantung pada pemimpin itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod Ahmad Zahid mendakwa, antara yang menerima peruntukan RM100,000 seperti dirinya ialah Anggota Parlimen Pekan Najib Razak, Ahmad Maslan (Pontian), Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

Ahmad ialah setiausaha agung yang menulis surat kepada ahli parlimen parti itu untuk mendapatkan persetujuan memohon agar Yang di-Pertuan Agong membatalkan darurat.

Nazri dan Ahmad Jazlan pula merupakan ahli parlimen Umno yang mengumumkan pendirian mereka untuk tidak lagi menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin.

Ahmad juga pernah menggesa agar untuk PRU ke-15 diadakan pada suku tahun pertama tahun ini.

Najib pula kadang-kadang bertindak seperti pembangkang dengan kerap mengkritik dasar yang diperkenalkan kerajaan Muhyiddin.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562583