‘Sembunyi namun kan terlihat’, pemilik kedai runcit kantoi sorok 1.5 tan minyak masak bersubsidi.
Seorang pemilik pasar mini ditahan kerana menyorok 1,557kg minyak masak paket bersubsidi 1kg bernilai RM3,892.50
Dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat dekat sini semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, pihaknya menyerbu rumah itu pada 1.50 tengah hari, hasil maklumat dan risikan sejak beberapa hari lalu.
“Semasa serbuan, tiada sesiapa di rumah, namun pemeriksaan lanjut menemui 1,557kg minyak masak paket di ruang tamu.
“Kami percaya ia dijadikan tempat stor menyimpan minyak masak bersubsidi 1kg tersebut, yang merupakan barang kawalan.
“Lelaki berumur 50-an itu ditahan di pasar mini miliknya kira-kira 500m dari rumah itu,” katanya pada sidang akhbar di Stor Simpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak.
Jegan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedai milik lelaki tempatan itu tidak menjual minyak paket bersubsidi, walaupun mempunyai permit barang kawalan berjadual.
“Kami percaya peniaga itu menyorok minyak bersubsidi itu kerana mahu menjual atau menyeleweng kepada pihak ketiga bagi mendapatkan keuntungan lebih.”
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati rumah itu tiada permit untuk menyimpan barang kawalan berjadual dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengetahui lokasi penjualan semula minyak masak berkenaan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
BACA:
Rupanya ramai tak tahu, duit KWSP boleh bayar habis hutang PTPTN, ini cara-caranya