Perpisahan pada Mac 2021 meninggalkan kesan mendalam buat seorang wanita apabila kata-kata bekas suaminya mencetuskan perubahan besar dalam hidupnya
. Dalam kesedihan yang menyelubungi, dia mendekatkan diri kepada Allah SWT demi mencari ketenangan dan kekuatan.
Menurut wanita itu, kata-kata bekas suaminya yang menyakitkan hati membawa kepada satu doa yang diungkapkan secara spontan, menjadi titik tolak transformasi hidupnya.
“Ada satu doa yang tak sengaja terpacul dari mulut saya, doa yang akhirnya merubah hidup saya. Doa apa? Doa nak kurus,” katanya.
Dia mengakui, ketika itu berat badannya hampir mencecah 120 kilogram, dan kata-kata bekas suami membuatkan dia tersentap. Doa tersebut sering diulang, dengan air mata yang mengalir.
Pada Oktober tahun sama, dia diuji dengan pemergian arwah tok wan (datuk) tersayang, menyebabkan hilang selera makan sepenuhnya. Keadaan ini berlarutan sehingga menjejaskan kesihatannya, termasuk apendiks pecah yang menyebabkan komplikasi serius.
Wanita itu terpaksa menjalani pembedahan besar pada 2023 kerana usus tersumbat dan hernia abdomen. Menurutnya, apendiks yang telah pecah beberapa hari menyebabkan muka, mata, dan kulitnya berubah kekuningan, mirip jaundis pada bayi.
“Doktor terpaksa membelah perut saya secara menegak, lebih sejengkal panjangnya. Selepas pembedahan, saya tak boleh berjalan selama tiga bulan dan bergantung kepada kerusi roda. Tapi, dari berat 120kg, saya tinggal 75kg,” ujarnya.
Doa yang sering dilafazkannya termakbul, namun bukan tanpa ujian. Dia kehilangan insan tersayang, mengalami kesakitan fizikal, dan diuji dengan kekecewaan perpisahan, namun semua itu mengajarnya tentang kekuatan sebenar.
“Allah makbulkan doa saya dengan cara-Nya. Saya minta kekuatan, Allah berikan dugaan untuk menguji sejauh mana saya mampu bertahan. Akhirnya, tanpa perlu diet, saya mencapai impian untuk kurus,” katanya lagi.
Kisah wanita itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen. Rata-rata mereka kagum dengan ketabahannya, malah ada yang berkongsi pengalaman serupa dalam ruangan komen.
Wanita ini menjadi inspirasi, membuktikan bahawa setiap ujian memiliki hikmah tersendiri, dan doa yang dipanjatkan dengan keikhlasan pasti didengar oleh-Nya.
BACA:Â Isteri Bashar al-Assad nekad mohon cerai, sekali Rusia campur tangan