Setiap ahli parlimen PH diberi tugas untuk memantau kementerian

Setiap ahli parlimen PH diberi tugas untuk memantau kementerian

Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mewujudkan Kabinet bayangan bagi proses semak dan imbang kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) buat masa ini.

Sebaliknya, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Ahli Parlimen PH telah diberi portfolio tertentu untuk memberi fokus kepada subjek spesifik dibangkitkan di Dewan Rakyat.

“Bagi PH, secara defacto ahli-ahli Parlimen pernah berkhidmat sebagai menteri atau timbalan menteri akan terus memberi fokus kepada isu-isu dan perkara-perkara yang telah menjadi bidang tugas mereka.

“Sebagai contoh, (Ahli Parlimen Segambut daripada DAP) Hannah Yeoh memberi banyak fokus kepada isu Kementerian Wanita,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sering menyentuh hal-hal berkait Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Parlimen.

Katanya lagi, Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menjadi pembahas pertama sewaktu perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan tempoh hari.

Menurutnya, malah PKR juga telah mengatur jurucakap-jurucakap parti daripada kalangan ahli-ahli Parlimen untuk memberi tugasan dan fokus sewaktu sidang Parlimen, tetapi ia tidak semestinya berkait kementerian tetapi lebih kepada topik tertentu.

“Sebagai contoh, saya ditugas menjadi jurucakap bagi Komunikasi, Seni dan Budaya manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menjadi jurucakap bagi isu pelancongan.

“Maka bagi saya buat masa ini sebenarnya tidak timbul soal Kabinet bayangan, sama ada di peringkat PH mahupun bagi Keadilan (PKR) itu sendiri,” katanya.

Julai lalu, sejumlah 21 Ahli Parlimen PKR dilantik sebagai jurucakap Parlimen diketuai Anwar sebagai Ketua Pembangkang manakala bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik Ketua Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Senarai itu turut disusuli 19 Ahli Parlimen PKR yang akan menjadi semak dan imbang terhadap keputusan 19 portfolio kementerian di bawah kerajaan PN.

Selain Fahmi dan Saifuddin, antara ahli Parlimen parti itu yang tersenarai adalah Datuk Johari Abdul (Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Sumber Asli, Air dan Tenaga); Nurul Izzah Anwar (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Pendidikan).

Sementara itu, bagi pelantikan pembantu jurucakap untuk 19 portfolio kementerian sama, sejumlah 17 Ahli Parlimen PKR turut dipilih.

Semalam, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengesa pembangkang agar membentuk sebuah Kabinet bayangan dan memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urusnya, Aira Azhari berkata, pembentukan Kabinet tersebut merupakan langkah penting dalam usaha menawarkan cadangan alternatif yang konkrit kepada rakyat.

Katanya, penubuhan Kabinet sebegitu turut mampu menyelesaikan ketidaktentuan politik dalam kerajaan yang sedang berlaku pada ketika ini.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115596/BERITA/Nasional/PH-tidak-perlukan-Kabinet-bayangan