Setiap bulan bank rugi RM1.06 bilion sebab beri moratorium – Menteri Kewangan

Setiap bulan bank rugi RM1.06 bilion sebab beri moratorium – Menteri Kewangan

Sektor perbankan dianggarkan mengalami jumlah kerugian sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan atau sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia turut pengurangan kapasiti bank untuk pemberian pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion.

“Dalam tempoh enam bulan secara keseluruhannya, jumlah kerugian dianggar mencecah RM6.4 bilion bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion kepada peminjam,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP- Bagan) yang bertanya berhubung implikasi ditanggung sektor perbankan ekoran daripada pelaksanaan moratorium selama enam bulan.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, bank kini terbabit secara aktif dengan peminjam dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mungkin perlukan sokongan berterusan sebagai sebahagian daripada pendekatan bersasar.

Beliau berkata, kerajaan juga bersedia mengkaji bagi menambah peruntukkan dalam geran khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu lebih ramai peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

Katanya,kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion yang membantu sebanyak 545,000 peniaga mikro dan PKS berbanding sasaran awal kepada 700,000 golongan itu.

Selain itu, menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mengenai impak positif moratorium kepada rakyat dan ekonomi negara, Tengku Zafrul berkata nilai moratorium yang telah diberi setakat 20 Julai lepas mencecah RM59 bilion.

Malah, secara keseluruhannya, moratorium itu telah memanfaatkan sejumlah 7.7 juta rakyat Malaysia yang merangkumi 93 peratus peminjam individu.

“Saya yakin langkah moratorium ini telah sedikit sebanyak membantu rakyat mengharungi tempoh mencabar PKP akibat COVID-19,” kata beliau lagi.

Berita penuh : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/bank-rugi-rm1-06-bilion-setiap-bulan-beri-moratorium-tengku-zafrul-252925#.