Shahrir Samad bebas kes pengubahan wang haram RM1 Juta. Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan supaya Tan Sri Shahrir Ab Samad dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi FELDA itu.
“Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa pendakwaan tidak akan diteruskan terhadap tertuduh dalam masa terdekat. Dalam keadaan sedemikian adalah wajar tertuduh dilepaskan dan dibebaskan.
“Saya mengguna pakai peruntukan Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah untuk perintah itu. Tarikh sambung bicara pada 27 dan 28 Februari ini dilapangkan.
“Wang jaminan dipulangkan kepada penjamin dan pasport dikembalikan kepada tertuduh, manakala semua eksibit dipulangkan kepada pembelaan serta pendakwaan,” katanya.
Turut hadir, peguam pemerhati Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib yang sepatutnya memberi keterangan selaku saksi pendakwaan ke-23.
Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru didakwa pada 21 Januari 2020 atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri itu melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada LHDN.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, berkata pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan dan memohon supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.
“Sedia maklum pada tarikh lepas (bicara) pegawai penyiasat yang juga saksi pendakwaan ke-22 (Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop) belum selesai beri keterangan dan masih dalam peringkat soal balas dengan pihak pembelaan.
“Perkembangan terbaharu kami memohon menggunakan peruntukan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan itu,” katanya.
Susulan itu, peguam bela Shahrir, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memohon tertuduh dilepas dan dibebaskan atas alasan keterangan saksi berpihak kepada tertuduh.
“Ini (permohonan pendakwaan) tidak adil dan anak guam mesti dibebaskan serta dilepaskan,” katanya.
Seorang lagi peguam mewakili bekas Pengerusi FELDA itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata pertuduhan diputuskan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas terhadap anak guam dibuat secara tergesa-gesa.
Katanya, pertuduhan itu jelas dibuat berdasarkan keterangan tidak mencukupi dan ia diakui oleh pegawai penyiasat sendiri.
“Kes ini berada pada tahap akhir dan pegawai penyiasat sudah dipanggil yang mengakui keterangan tak mencukupi untuk dakwa Shahrir.
“Oleh demikian kami mohon mahkamah memutuskan Shahrir dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
Hakim kemudian meminta pendakwaan mengemukakan alasan atas tindakan tidak meneruskan pendakwaan terhadap Shahrir dalam masa terdekat.
Hakim: Kenapa tak teruskan pendakwaan. Ada apa-apa alasan?
Rasyidah Murni: Arahan diterima (daripada Jabatan Peguam Negara) tak teruskan pendakwaan.
Hakim: Teruskan pendakwaan dalam masa terdekat?
Rasyidah Murni: Tidak.
Sementara itu, peguam bela Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, berkata permohonan pendakwaan supaya anak guam dilepaskan tanpa dibebaskan tidak memberi kebebasan mutlak.
Katanya, Shahrir diheret ke mahkamah sejak 2020, malah keluarga bekas Pengerusi FELDA itu turut merasa malu terhadap pertuduhan dibuat.
Anak guam dilepaskan tanpa dibebaskan didakwa hanya akan menyebabkan tertuduh tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya jika akan diheret di mahkamah pada masa akan datang.
“Pendakwaan tidak diteruskan hingga peringkat akhir, sebaliknya dihentikan di tengah jalan. Berhenti sejenak bukan mutlak (lepas tanpa bebas). Pendakwaan sudah bawa 22 saksi dan 102 dokumen digunakan sebagai eksibit dalam mahkamah.
“Saksi pendakwaan ke-22 mengesahkan tiada dokumen diserahkan kepadanya bagi membuat penentuan RM1 juta itu pendapatan atau tidak. Shahrir didakwa atas siasatan tidak lengkap.
“Nak dakwa nanti dakwa balik, undang-undang tidak dipraktikkan sebegitu. Peguam Negara juga enggan membuat pendakwaan lebih lanjut dan hanya sebab kukuh serta keadaan luar biasa mahkamah menggunakan lepas tanpa bebas.
“Pendakwaan tidak kemuka ‘secebis’ (bukti) untuk menyatakan keadaan luar biasa, ini keadaan biasa dan kami minta pertuduhan ini dinoktahkan,” katanya.
BACA JUGA :
Lama berdiam diri, akhirnya coach Bola Tampar cerita keadaan sebenar isu tampar murid
Ramai puas hati Mydin jawab macam ni kepada Azwan Ali, “celupar sangat!”
Mati-mati ingat uncle ni pelakon Gerak Khas, rupanya polis pangkat besar betul