Pelawak terkenal, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, telah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini
atas enam pertuduhan gagal membayar cukai perkhidmatan serta penalti berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada tahun lalu.
Turut didakwa atas pertuduhan yang sama ialah syarikat miliknya, Bubblebee Sdn. Bhd. (Bubblebee), dan seorang pengarah bersama, Koh Choon Guan, 33.
Namun, ketiga-tiganya sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan berjumlah RM1,191,153.78 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang dibaca bersama Seksyen 78 akta sama, dan boleh dihukum di bawah seksyen tersebut. Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Di bawah Seksyen 26(10) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Seksyen 69(1) akta yang sama, mereka juga perlu membayar penalti berjumlah RM453,969.42 kepada Ketua Pengarah Kastam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, antara 1 April tahun lalu hingga 1 Februari tahun ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Abdul Rahim Wan Mahamood, dan Nur Amalina Ahmad Nazeri, yang mencadangkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan, memandangkan jumlah cukai dan penalti yang belum dibayar kepada Ketua Pengarah Kastam adalah tinggi, iaitu RM1.6 juta.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Firdaus Shaik Alauddin membantah cadangan ikat jamin, dengan menyatakan bahawa kes ini adalah kes saman dan bukan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
Tambahnya, Shuib sebelum ini telah memaklumkan kepada pihak pendakwaan agar menetapkan tarikh baru untuk sebutan kes kerana beliau menunaikan umrah dari 29 Oktober hingga 8 November.
“Begitu juga dengan Choon Guan yang meminta untuk didakwa bersama Shuib pada hari ini, namun perkara itu tidak dimaklumkan oleh Peguam Cara (pendakwaan) sebelum ini.
“Tiada isu anak guam saya melarikan diri, tambahan pula mereka menjalankan perniagaan di negara ini dan mempunyai pembelaan yang bermerit,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 bagi Shuib dan Choon Guan masing-masing dengan seorang penjamin, serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 18 Disember depan
BACA: Padah cas telefon ketika tidur, lelaki maut terkena renjatan elektrik