Siapa sangka ‘beri signal’ mampu buat jalan tak jem, ini sebabnya

Oleh ISMAIL YAHYA

Lebuh raya yang sesak boleh menggugat emosi seseorang dan membazirkan masa.

Tahukah anda bahawa tabiat pemanduan pengguna jalan raya sebenarnya boleh menyumbang kepada trafik yang perlahan?

Elakkan berada terlalu dekat dengan kenderaan di hadapan anda.

Budaya ‘mencucuk’ ini secara tidak langsung boleh mencetuskan trafik perlahan yang berterusan hingga berkilometer jauhnya.

Seeloknya, pastikan ada jarak yang selamat antara kenderaan anda dan kenderaan di depan, iaitu sekitar tiga saat minimum.

Siapa sangka 'beri signal' mampu buat jalan tak jem, ini sebabnya

Dengan jarak selamat yang mencukupi, anda akan kurang terdedah kepada brek mengejut jika kenderaan di depan memperlahankan kelajuannya secara tiba-tiba.

Brek mengejut adalah penyebab utama trafik sesak, kerana ia mencetuskan tindak balas berantai apabila kenderaan di belakang juga turut menekan brek serentak.

Pastikan anda memperlahankan kelajuan secara beransur-ansur dengan melepaskan pedal minyak sedikit demi sedikit dan hanya menekan brek apabila situasi memerlukannya.

Jika anda menukar lorong secara mendadak, kenderaan di lorong tersebut terpaksa brek mengejut, yang akhirnya menyebabkan trafik perlahan di belakang.

Sebagai peringatan, berikan beberapa saat selepas menyalakan lampu isyarat sebelum memutar stereng untuk memasuki lorong. Ini memberi masa kepada pemandu di lorong tersebut untuk memberikan ruang kepada kenderaan anda.

Elakkan bertukar lorong dengan kerap kerana ia boleh mengganggu aliran lalu lintas.

Jangan jadi penyibuk. Ramai pemandu yang gemar memperlahankan kenderaan mereka untuk melihat insiden di sekitar jalan raya, seperti kenderaan rosak di bahu jalan, pihak berkuasa menahan kereta untuk saman, atau kemalangan di lebuh raya berlawanan arah.

Ingatlah prinsip ini: ketika anda berada di atas jalan raya, kenderaan anda adalah sebahagian daripada sistem yang lebih besar. Jika kenderaan anda melambatkan pergerakan, ia akan turut memberi kesan kepada kenderaan lain di belakang.

BACA: ‘Aku balik kampung nak buat kejutan pada isteri, tapi aku pula yang kena kejutan sampai bapa mertua pun halau aku”