#SimpangTakLapo jadi tema Maszlee bantu parlimen Simpang Renggam

#SimpangTakLapo jadi tema Maszlee bantu parlimen Simpang Renggam

Bimbang dengan keadaan negara yang dilanda Covid-19 sehingga menyebabkan banyak ekonomi isi rumah terjejas, ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menawarkan bantuan pek makanan kepada penduduk kawasannya yang terkesan dan memerlukan.

Menerusi program #SimpangTakLapo, Maszlee berkata projek itu untuk memastikan tiada seorang pun penduduk di Simpang Renggam yang kelaparan.

“Hari ini, sekali lagi Covid-19 menekan kita dan pastinya yang akan terduduk dan jatuh tersungkur sehingga tak punya bekalan makanan adalah mereka yang tergolong dalam kalangan keluarga B40 yang miskin dan rentan.

“Apa yang terjadi telah terjadi, dan apa yang berlaku akan tetap berlaku.

“Walau bagaimanapun, saya tetap percaya bahawa apa juga yang berlaku, tidak seharusnya seorang pun rakyat di Simpang Renggam harus berlapar dalam keadaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maszlee berkata, kesusahan itu mula dirasai oleh penduduk di Simpang Renggam sejak bermulanya perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga menyebabkan ramai keluarga tidak mampu membeli barangan dapur untuk dimasak.

Menurutnya, sesiapa sahaja di kawasannya tidak mempunyai bekalan makanan di rumah boleh memohon pek makanan tersebut, termasuklah mereka dari golongan keluarga miskin, ibu tunggal dan keluarga dengan anak OKU.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/549226