Siti Zailah bincang sesama Timbalan Menteri untuk bentuk JK bertindak tangani ‘sugarbaby’

Siti Zailah bincang sesama Timbalan Menteri untuk bentuk JK bertindak tangani ‘sugarbaby’

Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak bagi menangani isu ‘sugarbaby’, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Jelas Siti Zailah, jawatankuasa itu akan ditubuhkan melalui Kementerian Pengajian Tinggi dengan melibatkan agensi kerajaan yang berkaitan.

Katanya ia akan meneliti isu berkenaan dari aspek perundangan, sosial, pencegahan dan intervensi ke atas pihak yang terlibat.

“Perancangan berstruktur dan teratur dari segi maklumat dan data adalah perlu bagi memastikan tindakan yang akan diambil tepat dan mampu mencegah lebih banyak platform seperti Sugarbook dihasilkan pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Ia dibuat selepas Siti Zailah mengadakan perbincangan bersama timbalan menteri pengajian tinggi dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Terdahulu, media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugarbaby’.

Siti Zailah berkata, tujuan utama perbincangan tersebut ialah bagi mendapatkan pandangan terhadap tindakan agensi kerajaan berkaitan ke atas isu berkenaan kerana ia melibatkan kumpulan sasar kementerian iaitu wanita muda yang sedang menuntut ilmu di intitut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

“Kerajaan mahu memastikan wanita-wanita muda di IPTA dan IPTS ini terus diberikan potensi perkembangan diri dalam pendidikan dan tidak terjebak dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dan moral bahkan yang paling penting, agama,” katanya yang juga anggota parlimen Rantau Panjang.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563065