SKMM nafi keluar poster larang orang guna ‘#SiBodohKauDengarSini’

SKMM nafi keluar poster larang orang guna ‘#SiBodohKauDengarSini’

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini menjelaskan mereka tidak pernah mengeluarkan poster memberi amaran agar orang ramai tidak menggunakan tanda pagar #SiBodohKauDengarSini di Twitter.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini Jabatan Komunikasi Korporat SKMM berkata poster tersebut bukan dikeluarkan oleh agensi terbabit.

“Poster berkenaan yang tular di media sosial mengandungi fakta kesalahan yang direka-reka meliputi aspek hukuman dan akta yang digunakan ke atas mereka yang melanggar amaran berkenaan,” katanya.

Untuk rekod tanda pagar #SiBodohKauDengarSini menjadi sohor kini utama di Malaysia kelmarin gara-gara rasa kecewa pengguna media sosial terhadap kawalan waktu operasi kedai makan semasa perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0).

Ia bermula apabila seorang pengguna akaun Twitter @farhanazahan merungut sudah dua kali tidak dapat makan malam kerana tidak dapat membuat pesanan.

Farhan juga mengadu dia bukanlah seperti menteri yang memiliki pembantu rumah untuk menyajikan makanan apabila pulang dari bekerja.

Mengikut peraturan PKP, restoran atau kedai makan mesti menamatkan operasi pada jam 8 malam. Ini bermaksud perkhidmatan penghantaran makanan tidak lagi menerima pesanan seawal jam 7.20 malam.

Ia kemudian menarik perhatian pelbagai pihak untuk membuat hasut maya, termasuk akaun parodi Bawangmana yang mengeluarkan poster olok-olok berkenaan tanda pagar tersebut.

Melalui poster berkenaan sesiapa yang didapati menggunakan tanda pagar itu boleh dikenakan tindakan mengikut “Seksyen 109 Akta Muhyiddin Tidak Ada Majoriti 2021” yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM35 juta atau kuarantin sehingga setahun.

Ia adalah sindiran kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang kini hanya disokong 109 ahli Dewan Rakyat sekali gus meletakkan presiden Bersatu itu kehilangan majoriti di parlimen.

‘Denda’ RM35 juta itu pula dipercayai merujuk kepada kos pembinaan tiga dewan orang ramai yang diluluskan untuk dibangunkan di Pagoh, iaitu kawasan diwakili Muhyiddin.

“SKMM akan terus mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung penyebaran maklumat tidak sahih,” kata SKMM. –MK