Sokong bajet : Penyokong luah rasa kecewa, Najib beri alasan ‘kekurangan masa’

Sokong bajet : Penyokong luah rasa kecewa, Najib beri alasan ‘kekurangan masa’

Barisan Nasional menyokong Belanjawan 2021 kerana memikirkan kerajaan semasa “kekurangan masa” untuk membetulkan bajet sekiranya digagalkan sekarang.

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Najib Razak, faham penyokong gabungan itu kecewa kerana dua tuntutan utama untuk menyokong belanjawan itu masih belum sempurna, tetapi Perikatan Nasional berkata mereka akan berusaha memperbaikinya.

“Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa yang munasabah maka BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak,” katanya di Facebook.

Najib mengingatkan kini tinggal dua minggu lagi sebelum 2021 bermula, dan dengan sokongan BN memastikan Belanjawan lulus, perbelanjaan kerajaan akan berjalan.

Beliau menepis dakwaan BN beri harapan palsu berhubung dua tuntutan utamanya, iaitu kemudahan mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman bank, sebab jelas ada kemajuan dalam menjayakannya.

“Dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP, perlu ingat BN perjuangkan daripada tidak diberi langsung sebelum Belanjawan 2021, ke 600,000 orang diberi, ke dua juta orang diberi, dan akhirnya ke lapan juta ahli yang layak sekarang.

“Kategori 1 sudah elok. Kini cuma tinggal Kategori 2 untuk ditambahbaik,” katanya.

“Dalam isu lanjutan moratorium pula, kita perjuangkan daripada tiada moratorium ditambah sebelum belanjawan, ke moratorium diberi cuma kepada golongan B40, dan akhirnya ke kelulusan automatik diberi tanpa dokumen kepada sesiapa daripada golongan B40, M40, dan perniagaan kecil sederhana yang memohon.

“Namun masih ada kekurangan dari segi implementasi dari bank-bank yang degil,” katanya.

Najib beri jaminan BN akan menuntut PN tepati janji mereka sehingga kedua-dua isu itu diselesaikan sebaiknya.

Tetapi jika belanjawan tak lulus hari ini, maka kerajaan susah berfungsi sehingga hujung tahun, katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/15/najib-bn-sokong-belanjawan-kerana-kekurangan-masa-akan-buat-sesuatu-jika-pn-tipu/