Siapa sahaja tidak marah jika ada yang berhutang dengan kita tapi di sosial media tayang kemewahan padahal sedar diri tak mampu.
Lebih menyedihkan mereka ini tidak segan untuk berhutang dengan sanak saudara atas alasan keluarga.
Seorang wanita tidak berpuas hari dengan suami adik iparnya yang tanpa segan silu mahu meminjam duit sedangkan mahu bayar minum di gerai pun tak mampu.
Kenalkan diri aku Nini, 35 tahun. Anak dua orang, tujuh dan tiga tahun. Suami aku penjawat awam, hampir sembilan tahun berkhidmat.
Aku pula berhenti kerja sejak lahir anak kedua dan buat bisnes aiskrim Malaysia kecil-kecilan saja dari rumah.
Rezeki masa mengandung anak kedua, suami dapat beli rumah apartment tingkat satu. Walaupun macam flat, tapi suami aku dah buat tinjauan apa semua sebelum beli.
Ada guard, kawasan tak ramai warga asing sebab ramai pemilik duduk. Kereta kami guna Myvi second hand. Suami beli masa awal kahwin.
Suami aku ni memang teliti jadi alhamdulillah kereta tak banyak ragam. Hutang kereta dah habis, tinggal hutang rumah je.
Gaya hidup sekeluarga berdua biasa sahaja, aku pun guna bawal RM4 shopee sahaja.
Masalah yang buat suami (termasuk aku) serabut ialah bila abang ipar suami dan sepupu (kira adik beradik susuan sebab mak mertua aku susukan masa baby) selalu suka pinjam duit kat suami aku.
Aku namakan mereka abang ipar BangMan dan sepupu Jang.
BangMan ni dari awal kahwin dengan kakak ipar aku, sampai la anak tujuh orang, memang tak kerja tetap.
Ikut suka dia nak masuk bila, nak datang ke, bila kena buang kerja dia cakap la dia tak boleh kerja dengan orang.
Kakak ipar aku penjawat awam pangkat tinggi juga ya, tapi gaji habis untuk sara anak tujuh orang.
Segala bil dan kereta dia tanggung, sekali dengan hutang yang BangMan buat. Pinjam kawan ni, pinjam kawan tu.
Kakak ipar pulak jenis diam, tak reti melawan. Mak mentua aku pula takut nak tegur menantu, dia biarkan je anak perempuan dia tanggung semua.
BangMan bila dapat tau adik ipar kerja kerajaan, hari-hari WhatsApp dan call minta pinjam duit.
Suami aku ni jenis baik, mula-mula hulur la sikit RM50. Lama-lama BangMan makin berani mintak pinjam ribu-ribu.
Time raya mula lah dia ajak suami aku minum kedai la, konon nak ajak suami aku masuk pelaburan itu ini.
Ajak jadi partner kawan dia nak bukak perniagaan lah. Lepastu suruh suami aku buat loan.
Masa ni aku masuk campur dah, nasihat suami aku. Aku cakap dah jangan bagi, cukup. Dia sembang juta-juta kat kedai tapi last-last suami aku bayarkan.
Hidup kami tak mewah tapi cukup, nak makan luar takde masalah, impromptu holiday sekali sekala takde masalah. Aku tak nak nanti suami aku jadi kambing hitam.
Ok lah pasal Jang pula. Jang ni mak mentua aku jaga dari baby sebab mak Jang ni, adik kepada mak mentua.
Jang ni muda setahun je dari suami aku, mak susukan sampai umur tiga tahun.
Berbanding BangMan, mak mentua aku ni ada la juga pujuk suami aku buatkan loan untuk Jang.
Jang ni dah kahwin, anak empat. Dia buat bisnes kedai makan. Jang minta suami aku buat loan, sebab Jang nak bukak restoran kat bandar. Kira cawangan kedua lah.
Yang buat aku risau ialah, lifestyle Jang tak nak kalah. Pakai kereta import mahal, bercuti setiap bulan. Dapat untung, enjoy.
Isteri pulak kaki shopping. Semua nak tayang kat Instagram dan Facebool. KWSP pekerja tak carum sampai haritu kena denda sebab bekas pekerja report.
Bila tak cukup duit nak bayar kereta, nak pinjam duit suami aku. Bulanan kereta Jang tu lagi mahal dari bayar rumah kami.
Suami aku suruh downgrade tukar kereta, Jang tak nak. Bila tak dapat duit, dia mengadu kat mak mentua aku pula aduhai.
Masalahnya hutang Jang yang sebelum ni pun dia tak pernah bayar, kira-kira dekat RM8k dah dia hutang suami aku.
Pinjam sikit-sikit tapi bayarnya tak. Lepastu nak suruh buatkan loan, janji nak bayar bulan-bulan.
Lebih memedihkan isteri Jang ni siap menghina orang miskin dan kata mereka yang kerja kerajaan suka buat pinjaman padahal suami dia tu bukan kaya.
Aku harap suami aku tak termakan kata-kata mereka, tak kira saudara atau tidak. Bab duit jangan buat main.