Orang kata bertuah badan jika suami isteri bekerja sebagai penjawat awam! Namun lain pula dihadapi sepasang suami isteri ini
Dia yang mengadu berdepan masalah kewangan serius akibat terjerat hutang-hutang yang melarat.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Kisah Rumah Tangga, seorang isteri yang merupakan seorang guru Gred 41 memberitahu dia
Dan suaminya bergelut dengan hutang setiap bulan sehinggakan gaji mereka suami isteri hanya berbaki RM550 untuk bertahan selama sebulan.
Itupun belum dikira perbelanjaan untuk anak-anak.
“Saya seorang isteri dan merupakan guru gred 41. Anak saya tiga orang. Suami saya pula kerja polis bawahan (konstabel) selama enam tahun.
“Bagaimanapun, kami menghadapi masalah kewangan serius. Duit gaji habis untuk bayar hutang. Suami pula dari dulu gajinya kecil kerana sudah potong macam-macam pinjaman,” katanya.
Menurut wanita tersebut, mereka masih belum berpeluang membeli rumah tetapi memiliki dua buah kenderaan iaitu sebuah Proton X70 dan sebuah Produa Bezza.
“Bayangkan, gaji saya tinggal RM400. Suami pula RM150. Belum termasuk hendak beli keperluan anak beranak lagi. Duit semua habis untuk bayar pinjaman semata-mata.
“Macam mana saya hendak atasi masalah ini. Ahli keluarga pula orang susah, malu saya hendak minta bantuan,” katanya.
Tambahnya, dia hanya meluahkan perasaan di platfom berkenaan untuk mendapatkan nasihat orang ramai.
Menurut wanita tersebut, suaminya seorang yang bertanggungjawab dan sangat rapat dengan anak-anak.
Luahan yang asalnya disiarkan di laman KRT kini tular sehingga mendapat perhatian warganet di X.
Di X, orang ramai tidak segan silu menyelar gaya hidup pasangan suami isteri tersebut yang disamakan dengan peribahasa biar papa asal bergaya.
“Maaflah, betul kata orang tua-tua. Ukur baju di badan sendiri. Tinggi sangat komitmen tu, cubalah bersederhana. Satukan gaji dengan suami, tengok perbelanjaan mana yang perlu dan mana yang tak perlu.
“Kereta kalau perlu dua buah cari yang mampu dibayar. Lagi satu, kenapa bila susah cakap suami yang gaji kecil? Padahal dari awal dah tahu kan?,” kata Mariam.
Selain itu ada yang mencadangkan agar mereka menjual kereta X70 yang sebenarnya banyak menjadi ‘pengacau’ kepada aliran tunai mereka.
“Setuju..X7O tu lah elemen utama yang kacau cashflow. Maaf, ramai kita di Malaysia yang mismatch kemampuan dengan kehendak pemilikan kereta ni.
“Mampu myvi tapi beli city. Akhirnya sesak nafas macam cerita di atas. Lagi satu walaupun layak, kena simpan kelayakan juga untuk beli rumah kelak,” komen pengguna X.
“Jual X70, dah ada duit lebih RM1700. Cukup dah tu,” cadang yang lain.