Suami isteri terperanjat anak duduk atas kerusi bayi ‘disambar’ staf restoran

Oleh ISMAIL YAHYA

Kegembiraan sepasang suami isteri yang sedang menikmati hidangan di sebuah restoran bertukar menjadi pengalaman tidak menyenangkan apabila berdepan dengan insiden yang tidak diduga.

Suasana makan mereka terganggu apabila seorang pekerja restoran tiba-tiba memegang dan mendukung anak mereka tanpa kebenaran.

Anak pasangan tersebut yang baru berusia 10 bulan ketika itu sedang duduk di kerusi bayi.

Menurut si ibu, kejadian berlaku ketika mereka sedang menikmati hidangan bersama.

“Siapa yang tak terkejut bila orang luar tiba-tiba dukung anak kita? Masa tu saya dan suami sedang makan, dan anak kami hanya duduk di kerusi bayi.

Suami isteri terperanjat anak duduk atas kerusi bayi ‘disambar’ staf restoran

Seorang pelayan yang lalu-lalang suka mengusik anak saya sebelum terus mengangkatnya tanpa kebenaran,” katanya melalui hantaran di laman sosial.

“Kami Terkedu, Suami Segera Ambil Anak”

Insiden itu menyebabkan pasangan berkenaan terkedu. Namun, si suami bertindak pantas mengambil semula anak mereka daripada pelayan tersebut.

“Kami betul-betul tak sangka perkara itu berlaku. Suami saya terus ambil anak kami daripada pelayan tersebut. Ini bukan soal remeh, tetapi soal keselamatan anak kami,” ujar si ibu dengan nada kesal.

Menurutnya lagi, insiden serupa pernah berlaku di premis makanan lain sebelum ini. Anak mereka yang bersifat mesra sering menarik perhatian orang di sekeliling.

“Anak saya memang mudah mesra. Dia suka senyum dan tak takut dengan orang langsung. Tapi sekarang saya risau. Macam mana nak ajar supaya dia takut dengan orang asing? Nampaknya ramai yang tiada rasa tanggungjawab atau common sense,” tambahnya.

“Ibu Bapa Perlu Bertegas”

Hantaran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga maya. Ramai berkongsi pengalaman serupa dan meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak kecil di tempat awam.

“Ada yang bukan sahaja mendukung anak kita, malah berani mencium bayi kita tanpa kebenaran. Kita tak tahu niat mereka,” komen seorang pengguna.

Warga maya turut menasihati ibu bapa agar lebih tegas dalam melindungi anak-anak mereka.

“Bukan sombong, tetapi kita tak boleh ambil mudah. Orang luar tak ada hak untuk menyentuh anak kita tanpa izin.

Kita sebagai ibu bapa kena overprotective dalam situasi begini. Anak-anak perlu dilindungi,” ujar seorang lagi pengguna.

BACA: Berang motor kena tarik akibat installment tunggak 20 bulan, wanita nekad bakar motor