Sudah sebulan berlalu, bila nak isytihar harta?

KENYATAAN MEDIA
12 April 2020

Saya meneliti semula komitmen YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin sepertimana yang beliau umumkan menerusi sidang media sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat sulung kabinet pada 11 March 2020 lalu. Rujuk https://www.bharian.com.my/…/tempoh-sebulan-jemaah-menteri-…

YAB PM dalam pengumuman tersebut menyatakan, semua anggota Kabinet dikehendaki mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka diberi tempoh sebulan untuk melakukannya.

Hari ini 12 April 2020. Genaplah satu bulan lebih dari tarikh pengumuman tersebut dibuat. Saya ingin bertanya, adakah kabinet Perikatan Nasional (PN) sudah isytihar harta?

Kedua, saya ingin menyeru agar kerajaan pimpinan YAB PM ini mengambil langkah yang sama sepertimana ketika YAB PM berperanan sebagai Menteri Dalam Negeri sewaktu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu iaitu dengan memaparkan maklumat pengisytiharan harta tersebut menerusi portal mydeclaration dan boleh diakses oleh publik.

Perkara ini amat penting bagi memastikan kerajaan terus kekal berada atas paksi ‘integrity’ dan ‘transparency’ sepanjang tempoh pentadbirannya.

Saya cukup yakin dan percaya, meskipun negara sedang berhadapan ‘pandemic’ penularan wabak Covid-19, ia tidak menghalang YAB PM dan kabinetnya meneruskan proses pengisytiharan harta ini. Pada hemat saya, ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar.

Apa yang diperlukan hanyalah keberanian dan keazaman politik yang kuat atau ‘political will’ oleh setiap anggota kabinet untuk memastikan kerajaan yang mentadbir hari ini dilihat sebagai sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Bahkan, ia lebih mudah berbanding urusan kerajaan yang lain contohnya proses mengagih-agih jawatan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan-badan Berkanun kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS khususnya. Saya fikir hal ini memerlukan negosiasi lebih rumit untuk menjaga survival serta kestabilan kerajaan PN apatah lagi disaat segala kudrat kerajaan sedang difokuskan kepada usaha-usaha melawan Covid-19 ketika ini.

Dan saya juga yakin, YAB PM akan memastikan proses pengisytiharan harta serta akses paparan umum di portal ini akan dilaksanakan sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PH di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamad dahulu dimana Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri adalah sebahagian daripada anggota jemaah menterinya.

Lebih-lebih lagi beberapa hari menjelang bulan Ramadhan yang mulia disisi umat Islam, kita harap kerajaan yang disebut-sebut 99% melayu Islam dalam sejarah tanah air ini akan bersegera mengambil langkah mengisytihar harta seiring dengan semangat ‘tazkiyyatu an-nafs’.

Sumber :