Sultan Selangor tegur pemimpin politik guna bahasa kesat dan biadap, dipercayai merujuk kepada Sanusi

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Sultan Selangor tegur pemimpin politik guna bahasa kesat dan biadap, dipercayai merujuk kepada Sanusi

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap sesetengah wakil rakyat

Ada yang menggunakan kata-kata kesat dan biadap, selain turut mengheret institusi raja ke dalam ceramah.

Sultan Selangor tegur pemimpin politik guna bahasa kesat dan biadap, dipercayai merujuk kepada Sanusi

Lapor Awani, baginda mengingatkan supaya ahli-ahli politik yang mempunyai kemasyhuran tidak memperlekehkan sesiapa yang tidak sefahaman dalam politik.

Titah baginda, semua ahli politik sebaliknya mestilah memelihara adab dan tatasusila.

“Beta juga ingin menyentuh tentang insiden-insiden yang melibatkan penggunaan kata-kata kesat dan biadap yang dilemparkan oleh segolongan kelompok masyarakat, ahli-ahli politik, tidak ketinggalan segelintir pemimpin-pemimpin parti politik ketika berkempen dengan mengheret institusi raja ke dalam ceramah-ceramah mereka.

“Keadaan yang berlaku ini menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap institusi raja dan Kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa.

“Sikap biadap mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas,” titah baginda.

BACA: Cukup-cukuplah Berpolitik, Fikir Masa Depan Negeri, Rakyat – Sultan Selangor
Dalam pada itu, baginda turut menitahkan supaya mengetengahkan budi bahasa dengan menghentikan tindakan menghina dan budaya caci-mencaci.

Titah Sultan Sharafuddin lagi, perbuatan menghina itu bukan budaya kita sebaliknya budi pekerti itu adalah sifat sebenar.

“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda.

Difahamkan juga, titah itu dibuat selepas berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada Isnin.

BACA: Tujuan sebenar pembinaan Putrajaya yang ramai rakyat Malaysia tak tahu, siapa sebenarnya yang ‘control’ Putrajaya