Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pihak polis mengambil tindakan terhadap mana-mana individu
jika berterusan melempar fitnah kononnya 200 buah sekolah tahfiz di Selangor diarah untuk ditutup
Titah baginda, tohmahan sedemikian secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai
Terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini.
“Baru-baru ini telah berlaku kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap Pihak Berkuasa Agama Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar.
“Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta yang tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan yang tidak berasas.
“Andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” titah baginda
Sultan Selangor yang juga pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian dalam mesyuarat MKI ke-70 hari ini.
Baginda juga bertitah agar kumpulan pemfitnah segera menghentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab seperti itu.
“Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu,” titah baginda.
Titah itu merujuk fitnah terhadap pihak berkuasa agama negeri kononnya lebih 200 sekolah tahfiz diarah tutup hingga mengakibatkan beribu-ribu pelajar hilang tempat belajar.
Menjelang pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, beberapa badan bukan kerajaan mendakwa kerajaan Selangor menutup sekolah agama persendirian di negeri itu.
Bagaimanapun pada 6 Julai, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan tiada satu pun notis penutupan dibuat. Beliau juga terpaksa mengulangi penafian itu berikutan fitnah tersebut berterusan selepas PRN
Dalam pada itu, baginda menyeru kepada mana-mana Institusi tahfiz swasta dan persendiran yang belum berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Islam negeri agar segera melaksanakannya supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan seperti mana yang diterima oleh Institusi pendidikan Islam yang berdaftar.
“Beta juga mencadangkan agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan kertas kerja bagi membuat dasar dan prosedur yang komprehensif bagi pendaftaran institusi-institusi tahfiz swasta dan persendirian untuk diguna pakai di setiap negeri,” titah Sultan Selangor
Sumber: https://harapandaily.com/sultan-selangor-titah-polis-kesan-pemfitnah-200-sekolah-tahfiz-ditutup/