Tabika KEMAS tidak wajar bezakan pelajar ikut ‘kasta’

Tabika KEMAS tidak wajar bezakan pelajar ikut ‘kasta’

Amat mengejutkan apabila Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, seperti yang dilaporkan media, melontarkan cadangan bagi membuka Tabika Kemas Elit yang mengkhususkan kumpulan berpendapatan tinggi dengan bayaran yuran bulanan yang lebih mahal.

Beliau juga menegaskan bahawa pilihan buat keluarga yang tidak berkemampuan adalah Tabika Kemas biasa dengan bayaran bulanan antara RM5 hingga RM25.

Sungguhpun cadangan ini belum dibawa dan diluluskan oleh Kabinet, Timbalan Menteri 1 KPLB itu perlu menjelaskan adakah cadangan ini semata-mata atas dasar pertimbangan harga bayaran yuran bulanan atau terdapat alasan lain yang diambil kira.

Seperkara yang amat membimbangkan adalah kemungkinan wujudnya stigma jurang kasta pendidikan berdasarkan status kemampuan ekonomi keluarga kanak-kanak. Apatah lagi ia diperkenalkan sendiri oleh pihak kerajaan melalui agensinya. Dijelaskan juga dalam laporan media itu, Tabika Kemas Elit akan mempunyai kurikulum yang lebih baik berbanding Tabika Kemas biasa. Ini secara tidak langsung menimbulkan persepsi akan perakuan oleh Timbalan Menteri 1 KPLB bahawa 10 900 buah Tabika Kemas biasa sedang menggunakan silibus kurikulum yang berkualiti rendah.

Justeru, KEMAS sebagai suatu badan institusi awam kerajaan tidak wajar dimanipulasi sedemikian rupa. Ianya adalah jelas bertentangan dengan hak kesamarataan dan hak berkenaan dengan pendidikan yang termaktub dalam Perkara 8 (2) dan Perkara 12 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

“Pejuang Muda • Pejuang Berprinsip”

ABU HAFIZ SALLEH HUDIN
30 September 2020

Sumber :