Persatuan restoran menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan dan menyifatkannya sebagai “tidak adil” apabila tindakan hanya dikenakan terhadap pengusaha restoran dan bukannya pelanggan.
Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma) Abdul Mukthahir M Ibrahim turut mendakwa pelaksanaan larangan itu juga “tidak konsisten”.
“Ada segelintir pegawai penguatkuasa mengambil jalan mudah dengan mengeluarkan saman kepada pengusaha restoran dan bukannya pelanggan yang berada di kawasan larangan merokok. Ini sangat tidak adil.”
Mukthahir berkata Presma menyokong sepenuhnya pelaksanaan peraturan itu selain telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyokong langkah itu, beberapa tahun lalu.
“Dalam salah satu mesyuarat, pegawai mereka memaklumkan bahawa pengusaha tidak akan didenda selagi terdapat papan tanda larangan merokok dipamerkan dan tidak ada bekas habuk rokok diletakkan di atas meja.
“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, salah seorang ahli kami di Negeri Sembilan dikenakan denda walaupun mematuhi semua peraturan,” katanya.
Mukthahir berkata sejak itu, kira-kira separuh daripada ahli Presma telah dikenakan saman atas kesalahan sama di seluruh negara.
“KKM sepatutnya menyediakan satu garis panduan yang jelas dan bukan membebankan pengusaha kerana mereka baru saja dibenarkan menerima pelanggan makan di premis selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
“Saya pernah membangkitkan isu ini kepada pegawai di KKM tetapi ia hanya dipandang sepi,” katanya yang mengulas gesaan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin supaya penguatkuasaan larangan merokok ditingkatkan di premis makanan.
Di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) 2018, orang ramai yang ditangkap merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda sehingga RM10,000 dan berdepan hukuman penjara dua tahun manakala pengusaha perniagaan yang gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara hingga enam bulan.