Tak habis lagi kes air, Kedah heret Pulau Pinang naik mahkamah

Oleh ISMAIL YAHYA

Kerajaan Negeri Kedah akan mengemukakan tuntutan melalui kaedah perundangan berkaitan isu bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata perkara ini akan dibawa ke mahkamah berikutan kerugian yang dianggarkan berjumlah RM50 juta setahun.

“Pulau Pinang (Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow) yang meminta perkara ini dibawa ke mahkamah, dia yang suruh,

bukan saya yang mahu mengambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Kerajaan 4 Negeri (SG4) di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi pada Isnin.

Dalam ucapannya, Sanusi mengakui mempunyai sejarah panjang dengan negeri jirannya itu.

Tak habis lagi kes air, Kedah heret Pulau Pinang naik mahkamah

“Jumlah air yang diambil dari Sungai Muda adalah dua kali ganda daripada yang digunakan oleh negeri Kedah sendiri.

“Kita mempunyai tanah, hutan, sungai, dan air kita gunakan separuh, tetapi mereka gunakan dua kali ganda. Mereka gunakan percuma, sementara kita terpaksa membayar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat 340,000 kawasan tadahan di Hutan Simpan Ulu Muda, dengan 170 kilometer daripadanya merupakan kawasan jajaran Sungai Muda.

“Sungai ini membekalkan air ke negeri-negeri di Utara, tetapi jiran kami mengambil air yang kami tadah secara percuma,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata isu ini telah berlarutan selama puluhan tahun.

“Tetapi apabila kita menyuarakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan ini sebahagian daripada pendapatan kerajaan supaya mereka dapat membayar air percuma yang diambil selama puluhan tahun, banyaklah songeh, suruh bawa ke mahkamah pula.

“Kalau bawa ke mahkamah, boleh saja, tetapi nampak kita yang keterlaluan,” ujarnya.

Beliau berkata tuntutan tersebut mula dibuat pada tahun 2010 ketika Kedah ditadbir oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, tetapi hingga kini belum selesai.

Sebelum ini, Kon Yeow dilaporkan berkata jika kerajaan Kedah serius terhadap tuntutan tersebut, negeri jiran itu seharusnya memulakan tuntutan melalui mahkamah supaya perkara itu dapat diputuskan mengikut undang-undang.

BACA: Lepas 20 tahun buta, lelaki ini akhirnya boleh melihat semula lepas dilanggar kereta