Tak perasan gambar sendiri, wanita cemburu tikam suami

Tak perasan gambar sendiri, wanita cemburu tikam suami

Gara-gara cemburu buta apabila melihat gambar suaminya yang disangkanya bersama wanita lain, seorang isteri mengambil keputusan untuk menikam suaminya berulang kali dengan sebilah pisau.

Namun sangkaannya meleset apabila mendapati gambar yang disimpan di telefon bimbit itu sebenarnya adalah gambar dirinya sendiri beberapa tahun lalu.

Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku di Cajeme, Sonor, Mexico, pada Jumaat.

Memetik laporan media antarabangsa, wanita itu yang dikenali sebagai Leonora N telah ditahan polis kerana mencederakan suaminya, Juan N.

Menurut polis, Leonora bertindak sedemikian kerana menyangka suaminya telah curang dengan dirinya selepas menemui beberapa keping gambar suaminya bersama seorang wanita ‘lebih muda’ di telefon bimbitnya.

Namun Juan menjelaskan semua itu hanyalah salah faham kerana gambar yang dijumpai itu adalah gambar lama mereka berdua ketika sedang bercinta yang didigitalkan untuk dimuat naik ke dalam telefon suaminya.

Polis kemudiannya menahan Leonora selepas mendapat laporan daripada jiran terdekat yang mendengar pergaduhan mereka berdua. –AA