Syarikat peruncit terkemuka, Mydin, telah memudahkan usaha pempengaruh media sosial,
Khairul Aming, dalam misi beliau membantu mangsa banjir di Kelantan.
Datuk Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin, telah memberi lampu hijau kepada Khairul Aming
untuk mengambil barangan keperluan sebanyak mana yang diperlukan tanpa perlu melakukan bayaran segera.
“Ambil saja barang sebanyak mana yang kamu nak, tak perlu bawa orang atau kad kredit, RM20,000 atau RM100,000, selepas banjir baru bayar,” kata Ameer dalam video yang kini tular di TikTok.
Selain itu, Datuk Ameer turut memberikan bantuan tambahan sebanyak RM5,000 kepada pasukan Khairul Aming untuk membeli barangan bantuan.
Keadaan banjir di Kelantan semakin meruncing, dengan hampir 100,000 mangsa terjejas. Khairul Aming sendiri telah turun ke Pasir Mas dan dalam tempoh hanya dua jam, beliau berjaya mengumpul bantuan untuk 2,000 mangsa.
Inisiatif ini juga melibatkan Mydin yang turut menyumbang barangan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir.
Sokongan yang diberikan ini mendapat pujian ramai, membuktikan solidariti rakyat Malaysia dalam menghadapi bencana.
BACA: Tak cukup 2 tahun sertai Bersatu, ahli akar umbi persoal perlantikan Tun Faisal