Pemuda Umno Bukit Gantang dilaporkan ‘lumpuh’ apabila hampir semua ahli jawatankuasa (AJK) meletakkan jawatan,
dipercayai disebabkan ketidakpuasan hati terhadap prestasi Ketuanya, Mohd Adri Adha Mohamad.
Difahamkan, hanya Adri yang masih kekal dalam jawatankuasa itu selepas naib ketua pemuda dan barisan AJK bahagian berkenaan mengundurkan diri.
Sumber parti memberitahu bahawa surat peletakan jawatan tersebut telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Umno untuk tindakan lanjut,
sama ada menerimanya atau mengadakan perbincangan bagi mengelakkan kemelut berpanjangan.
“AJK yang terlibat mendakwa ketua mereka gagal menjalankan tugas dengan baik, terutamanya dalam usaha Umno untuk merampas semula kerusi tersebut pada PRU16 nanti.
Oleh itu, mereka memutuskan untuk meletakkan jawatan dan surat berkenaan telah diterima oleh Umno Pusat, tetapi sebarang keputusan bergantung kepada pimpinan,” katanya.
Mengikut perlembagaan Umno, jawatankuasa Pemuda di sesebuah bahagian perlu mengadakan pemilihan semula jika dua pertiga atau lebih AJK meletakkan jawatan.
Pemilihan itu akan diadakan pada mesyuarat perwakilan khas, dengan tempoh memegang jawatan yang ditetapkan oleh Umno bahagian berkenaan.
Namun, Ketua Umno Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, ketika dihubungi menafikan bahawa sayap Pemuda bahagian itu ‘telah lumpuh’ susulan laporan peletakan jawatan semua AJK kecuali Adri.
“Belum ada keputusan untuk pembubaran. Masih dalam perbincangan. Minggu depan baru ada mesyuarat,” katanya.
Difahamkan, Adri kini berada di Makkah untuk mengerjakan umrah dan akan pulang ke tanah air minggu depan.
BACA: Masuk senarai untuk dihalalkan, jadi bahan jenaka netizen, Bella Astillah tampil beri respon