Siapa sangka, bangunan konkrit yang dipenuhi dengan landskap tumbuhan hijau di Jalan Sungai Penchala, Segambut, Kuala Lumpur ini sebenarnya sebuah surau.
Mana tidaknya, struktur berbentuk kiub yang dibina dengan dinding batu blok angin itu kelihatan seperti bangunan pejabat sekiranya dipandang secara sepintas lalu.
Pembinaan surau yang dinamakan Musalla Al Abrar itu rupa-rupanya diinspirasikan daripada struktur bangunan suci terletak di Masjidil Haram di Makkah iaitu Kaabah.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh arkitek berusia 50 tahun iaitu Hafiz Ismail yang dipertanggungjawabkan untuk membuat pelan surau berkenaan, lapor Harian Metro.
“Saya ambil ilham daripada struktur Kaabah berbentuk kiub. Bagaimana struktur sederhana Kaabah itu, jutaan umat Islam daripada seluruh dunia pergi setiap tahun.
“Jadi mengapa tidak kita fikir (pelan) bentuk kiub Kaabah yang boleh menarik ramai orang,” kata arkitek yang turut memaklumkan pembinaan Musalla Al Abrar itu menelan kos mencecah RM3 juta.
Musalla ini mempunyai dua aras ruang solat yang boleh memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa selain menempatkan ruang pejabat, tempat wuduk, tandas dan dapur.
Difahamkan, surau bertaraf masjid di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq itu siap dibina pada tahun 2016 lalu dan hingga kini masih menjadi tumpuan umat Islam dari kawasan berdekatan untuk mengikuti majlis ilmu di situ.
Jelas Hafiz, reka bentuk bangunan surau itu menerapkan ‘tropical brutalism’ daripada segi disiplin seni bina yang memiliki kelebihan dan setiap daripadanya mempunyai fungsi tertentu.
Perkataan ‘brutalism‘ itu merujuk kepada penggunaan bahan dinding dan tiang surau yang berasaskan binaan konkrit dilepa simen 100 peratus tanpa semburan cat dan hanya lantai diwarnakan.
Manakala perkataan tropical diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang meliputi sebahagian surau bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mendamaikan.
Bangunan Musalla Al Abrar terletak di Jalan Sungai Penchala ini menerapkan reka bentuk tropical brutalism.
Tambahnya, penggunaan batu blok angin di keseluruhan dinding surau bertujuan untuk mewujudkan lubang pengudaraan semula jadi lalu membuatkan jemaah kekal selesa dan tenang walaupun berada dalam jumlah ramai.
“Perkakasan digunakan di ruang tandas dan wuduk juga tidak mahal serta mudah didapati namun didekorasi sebaiknya supaya ia membentuk nilai estetika dan nampak lebih menarik.” Ujarnya.