Tiga remaja ditahan selepas merancang untuk menculik diri mereka sendiri dengan tujuan menuntut wang tebusan.
Mereka ingin menggunakan wang tersebut untuk membiayai perjalanan mereka ke Korea Selatan bagi bertemu dengan anggota kumpulan BTS.
Menurut laporan Hindustan Times, perancangan penculikan ini dibuat oleh tiga remaja tersebut bagi mendapatkan wang yang cukup untuk menampung kos perjalanan mereka.
Pihak polis dari daerah Dharshiv menerima laporan daripada seorang saksi yang melihat tiga remaja tersebut diculik menggunakan sebuah van di hadapan sekolah mereka.
Bagaimanapun, usaha penculikan ini terbongkar apabila orang ramai yang berada di dalam bas yang sama dengan remaja-remaja itu memberi bantuan kepada polis.
Setelah menjejaki mereka, polis mendapati bahawa tiga remaja ini sebenarnya dalam perjalanan ke daerah Pune, bukannya diculik seperti yang dilaporkan. Mereka berhasrat untuk mencari pekerjaan di sana, tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Pihak polis berjaya menangkap tiga remaja yang berusia antara 11 hingga 13 tahun. Seorang wanita yang berada di dalam bas turut membantu menurunkan mereka dari bas, dan seterusnya membawa mereka ke balai polis.
Ibu bapa mereka juga hadir di balai polis pada hari yang sama.
Hasil siasatan lanjut, ketiga-tiga remaja itu mengakui bahawa mereka merancang tindakan ini semata-mata untuk memenuhi impian mereka
bertemu dengan anggota BTS yang dijangka selesai menjalani latihan ketenteraan dalam masa terdekat. Keinginan mereka yang melampau untuk bertemu idola ini akhirnya membawa kepada keputusan yang mengejutkan dan berisiko tinggi.